
SIBU: Sarawak dilihat berpotensi besar menjadi pintu utama kepada kejayaan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menerusi keunikan budaya, kepelbagaian etnik serta keharmonian masyarakatnya, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Tiong King Sing.
Menurut beliau, kekuatan Sarawak yang kaya dengan warisan budaya yang pelbagai merupakan aset penting untuk menarik pelancong antarabangsa, khususnya dari rantau Asia.
“Inilah kelebihan Sarawak. Kita ada budaya, makanan dan cara hidup yang sangat unik. Inilah yang dunia mahu lihat dan fahami tentang Malaysia,” katanya ketika ditemui pada sidang media sempena Sibujaya Ambang Tahun Baharu 2026 di sini, semalam.


Tiong berkata, VM2026 bukan sekadar kempen promosi pelancongan, sebaliknya platform untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia adalah negara yang aman, bersatu dan saling menghormati kepelbagaian budaya.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak mempolitikkan isu kebudayaan dan agama kerana keharmonian merupakan kekuatan utama negara, khususnya di Sarawak.
“Jangan jadikan budaya sebagai isu politik atau perpecahan. Kita mesti tunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia, terutama Sarawak, adalah contoh perpaduan dan keharmonian,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong.
Mengulas sasaran pelancong, Tiong menjelaskan kerajaan berharap dapat menarik lebih 40 juta pelancong ke Malaysia pada 2026, susulan peningkatan ketara kemasukan pelancong sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Katanya, acara berkonsepkan komuniti seperti sambutan kira detik VM2026 yang menghimpunkan keluarga, belia, persembahan kebudayaan, makanan tempatan, gerai pameran serta aktiviti e-sukan membuktikan kesiapsiagaan Sarawak dalam menyokong kempen tersebut.
Beliau turut menyeru semua negeri agar bersama-sama mempromosikan identiti masing-masing, dengan Sarawak menjadi contoh terbaik dalam menampilkan kepelbagaian budaya dan gastronomi tempatan.
“Setiap kaum ada makanan dan budaya tersendiri. Kita mesti promosikan semua ini supaya pelancong tahu dan faham siapa kita,” katanya.
Dalam pada itu, Tiong berkata Maskot Beruang Matahari dipilih sebagai simbol VM2026 kerana ia melambangkan sifat mesra, kejujuran dan perpaduan dimana nilainya sinonim dengan rakyat Malaysia.
Oleh Tarani Lanting