PETRA JAYA: Sarawak berpotensi muncul sebagai antara pengeluar beras utama negara pada masa hadapan menerusi penyelidikan dan pembangunan teknologi pertanian yang sedang dilaksanakan di beberapa kawasan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan hasil penyelidikan berkenaan memberi keyakinan bahawa Sarawak mempunyai keupayaan untuk memperkukuh sektor pengeluaran beras dan keterjaminan makanan negeri.
Beliau berkata, antara kajian yang sedang dijalankan adalah di Kuala Baram melalui kerjasama pihak swasta dengan Universiti Yunnan, China, bagi menilai potensi varieti padi perennial.
“Keistimewaan padi ini ialah keupayaannya untuk tumbuh semula selepas dipotong semasa penuaian, tanpa perlu ditanam semula.
“Dengan pengurusan tanaman yang baik, padi perennial ini menunjukkan potensi untuk menghasilkan sehingga 14 tan sehektar bagi dua musim tanaman,” katanya dalam perutusan sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-69 Peringkat Sarawak 2026.
Menurut Abang Johari, keupayaan menghasilkan tuaian berulang daripada satu penanaman berpotensi meningkatkan produktiviti selain mengurangkan keperluan penanaman semula berbanding sistem pengeluaran padi konvensional.
Beliau berkata, sektor pertanian dan keterjaminan makanan merupakan antara kekuatan ekonomi Sarawak yang perlu terus diperkasakan bagi meningkatkan nilai tambah serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber luar.
Dalam perutusan itu, Premier turut menekankan kekuatan Sarawak dalam sektor kelapa sawit apabila negeri ini mencatatkan keluasan tanaman kira-kira 1.66 juta hektar serta pengeluaran sekitar 4.5 juta tan minyak sawit mentah pada 2025.
Katanya, rantaian nilai dan sektor hiliran industri kelapa sawit juga masih boleh diperluaskan kepada pengeluaran bahan makanan ternakan dan biojisim bagi menjana hasil yang lebih tinggi.
Abang Johari berkata, perkembangan dalam sektor pertanian itu termasuk usaha meningkatkan pengeluaran beras merupakan sebahagian daripada kekuatan ekonomi Sarawak yang mampu memberi harapan kepada rakyat terhadap masa depan negeri yang lebih maju dan mampan.
Beliau yakin Sarawak mampu menjadi hab ekonomi yang progresif di rantau ini menjelang 2030, termasuk menerusi pengukuhan sektor pertanian dan keterjaminan makanan.





