
PETRA JAYA: Sarawak dilihat mempunyai prospek besar untuk muncul sebagai hab baharu pembangunan kriket negara menerusi kerjasama erat antara Persatuan Kriket Malaysia (MCA), kerajaan negeri serta Persatuan Kriket Sarawak.
Presiden MCA, Mahinda Vallipuram berkata, Sarawak bukan sahaja berjaya membina kemudahan bertaraf antarabangsa melalui Padang Kriket Borneo dalam tempoh pembinaan yang singkat, malah menunjukkan potensi tinggi dalam melahirkan atlet kriket bertaraf dunia.
Menurutnya, Sarawak telah membuktikan kesungguhan apabila padang tersebut digunakan bagi Sukan Malaysia (SUKMA) dan Piala Dunia B-19 ICC, sekali gus meletakkan negeri itu di radar antarabangsa.
“Kerajaan negeri di bawah pimpinan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah menunjukkan pandangan jauh apabila melabur dalam pembangunan padang ini.

“Potensinya besar kerana Sarawak sudah pun melahirkan ramai atlet berkualiti untuk negara,” katanya pada sidang media selepas Perlawanan Kriket Siri Wanita Super Malaysia YSD ke-3 di Padang Kriket Borneo, di sini, hari ini.
Mahinda berkata, MCA bersama Persatuan Kriket Sarawak komited membawa sukan itu ke pelbagai daerah di negeri ini melalui kerjasama dengan Kementerian Pendidikan serta Majlis Sukan, termasuk memanfaatkan rangkaian sekolah berasrama penuh di setiap daerah sebagai pusat perkembangan bakat.
Katanya, program pembangunan akar umbi seperti ‘Adiwira’ dan YSD (Yayasan Sime Darby) Cricket Development Programme akan diperkenalkan di Sarawak bagi menarik minat kanak-kanak seawal usia tujuh tahun, seterusnya membuka peluang lebih luas kepada remaja khususnya pelajar perempuan untuk melibatkan diri secara aktif dalam kriket.
“Di Malaysia, pada 2012 hanya ada 249 sekolah bermain kriket. Hari ini lebih 2,000 sekolah sudah pun terlibat hasil program pembangunan berstruktur.
“Kita mahu pendekatan sama dilaksanakan di Sarawak agar ia tidak hanya tertumpu di Kuching, tetapi merata di seluruh negeri,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha itu bukan sahaja bakal memperkukuh peluang penyertaan atlet Sarawak ke pentas antarabangsa seperti Sukan SEA, Sukan Asia dan temasya Olimpik akan datang, malah membentuk komuniti sihat serta budaya kesukanan yang lebih meluas.
“Kriket bukan sekadar soal menang atau kalah, ia tentang disiplin, komuniti, kesihatan dan pelajaran hidup. Jika dimulakan hari ini, bukan sahaja Sarawak akan mendapat manfaat, tetapi Malaysia secara keseluruhannya,” tegas Mahinda.
Menurut Timbalan Presiden Persatuan Kriket Sarawak, Victor Graman, setakat ini, sebanyak 18 sekolah rendah dan lapan sekolah menengah di sekitar Kuching dan Kota Samarahan telah memperkenalkan sukan tersebut dalam aktiviti kokurikulum.
Oleh Shahrul Qaizat