KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) dengan kerjasama Pasukan Sains China Paleo Diary akan mewujudkan pelan hala tuju Sarawak dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai destinasi ekopelancongan utama di negara ini.
Ketua Pengarah Pasukan Sains China Paleo Diary, Chen Rui berkata, Sarawak adalah antara lokasi yang paling sesuai untuk menjalankan penyelidikan dan pembangunan dari sudut biodiversiti dan ekologi.
Katanya, melalui kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), beliau telah mengetuai Paleo Diary Eco-Scientist Club dari Beijing yang terdiri daripada sekumpulan saintis terkemuka China datang ke Sarawak untuk menjalankan kajian sekali gus mewujudkan pelan hala tuju Sarawak dari segi ekopelancongan.
“Oleh itu, kali ini melalui kerjasama STB, kami datang ke sini untuk menjalankan kajian.
“Fokus utama kajian adalah untuk mewujudkan pelan hala tuju Sarawak yang melibatkan ekopelancongan dan saya berharap bahawa pelan hala tuju ini boleh menjadikan Malaysia sebagai ‘visual hammer’ untuk China.
“Apabila bercakap mengenai Malaysia, rakyat China hanya memikirkan Menara Berkembar dan bangunan terkenal lain tetapi kini mereka akan memikirkan orang utan dan haiwan lain di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat STB, Plaza Aurora di sini, hari ini.
Chen Rui menambah, sejak ketibaan ke Sarawak pada 22 Mac lepas, pihaknya telah melawat ke taman eko seperti Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Pusat Hidupan Liar Matang, Taman Negara Kubah, Taman Negara Gading dan tempat yang lain untuk menjalankan kajian mereka.
Tambahnya lagi, Kelab Paleo Diary berhasrat untuk membawa kepelbagaian sumber biologi dan ekologi dari Malaysia bagi kanak-kanak dan rakyat di China.
Dalam masa sama, beliau berpendapat bahawa terdapat keperluan untuk pembangunan yang lebih mendalam di Sarawak dan terdapat banyak perkara yang boleh diusahakan untuk memartabatkan ekopelancongan di negeri ini.
Chen Rui turut memberitahu, pihaknya berharap dapat menubuhkan pusat penyelidikan saintifik dan pusat promosi ekopelancongan di Sarawak pada masa hadapan.
Dalam pada itu salah seorang ahli pasukan yang juga Ahli Botani Institut Botani, Akademi Sains China, Su Qiafan berkata kumpulan pertama pelajar dari China akan tiba pada 16 Julai di Sarawak bagi menjalankan lawatan kajian yang sama.
Mengulas lanjut katanya, seorang saintis akan membawa 10 keluarga kira-kira 20 orang dalam satu kumpulan dengan melibatkan seorang kanak-kanak bersama-sama ibu bapa masing-masing.
“Tetapi bergantung kepada keadaan, kita mungkin mempunyai lebih daripada seorang saintis yang akan datang ke Sarawak dan mereka akan tinggal di sini sehingga Ogos 2023.
“Kami telah memilih tarikh itu kerana ia bertepatan dengan cuti musim panas dan mereka teruja untuk datang kerana kami telah menerbitkan buku tentang keajaiban Malaysia, malah buku itu disyorkan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah.
“Secara tentatif, perjalanan akan mengambil masa selama tujuh hari dan mereka akan melawat tempat-tempat seperti Taman Negara Bako, Taman Negara Kubah, Hutan Simpan Semenggoh, Santubong dan lain-lain.
“Kami telah memilih tempat-tempat ini kerana masing-masing memberikan pengalaman unik dari segi biodiversiti yang disediakannya di samping setiap tempat yang kami pilih mempunyai sesuatu yang unik untuk pengunjung,” katanya.
Oleh NICKELYSON LAKUN