KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menyediakan RM1 juta khusus untuk pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (Program Dwi Bahasa) pada 2023.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak merupakan satu-satunya negeri yang yang melaksanakan sepenuhnya pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (DLP Sarawak).
“Kita telah mengambil langkah berani ini untuk meningkatkan taraf bahasa Inggeris dan menyediakan asas yang kukuh dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk pelajar bagi membolehkan mereka bersaing dalam arena global.
“Sejak 2019, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM13 juta bagi memastikan program ini berjaya.
“Justeru, pada 2023, sejumlah RM1 juta akan disediakan untuk program ini,” katanya ketika membentangkan usul Belanjawan Sarawak 2023 pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sementara itu, katanya kerajaan Sarawak turut menyediakan sejumlah RM28 juta untuk penubuhan institusi pembelajaran dan pusat sumber.
Katanya, ia bertujuan untuk penubuhan prasekolah baharu SeDidik di seluruh negeri terutamanya untuk menampung kanak-kanak daripada keluarga berpendapatan rendah dengan peruntukan RM20 juta.
Selain itu, ia juga merangkumi penubuhan pusat latihan automotif termaju dengan peruntukan RM7 juta, manakala RM1 juta akan dibelanjakan untuk penubuhan perpustakaan kampung di pekan-pekan kecil di Sarawak.
Abang Johari berkata, sejumlah RM8 juta akan disediakan untuk menampung perbelanjaan mengurus sekolah antarabangsa milik negeri yang sudah mula dibuka sejak April tahun ini.
“Sekolah antarabangsa kedua terletak di Batu 12, Jalan Kuching-Serian yang menelan belanja kira-kira RM58 juta dibiayai di bawah pembiayaan alternatif kini hampir siap dan dijangka mula beroperasi pada 2024.
“Tiga lagi sekolah antarabangsa yang terletak di Sibu, Miri dan Bintulu akan turut dibuka mulai 2025 dan seterusnya,” katanya.
Oleh RYNNA SHA’ERRA