KUCHING: Kerajaan Sarawak berhasrat untuk meningkatkan eksport kayu dan produk perkayuan seperti perabot kepada RM6 bilion menjelang 2030.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sasaran tersebut bersamaan dengan 75 peratus daripada jumlah pendapatan eksport daripada kayu dan produk kayu bernilai RM8 bilion.
Katanya, nilai eksport Sarawak untuk produk berasaskan kayu mencecah RM3.1 bilion pada Januari hingga September 2022 dan hanya RM44 juta atau sekitar 1.5 peratus daripadanya merupakan produk perabot.
“Kini RM44 juta. Bolehkah anda mencapai RM6 bilion dalam tempoh tujuh tahun akan datang? Dan kita juga mesti meningkatkan kedua-dua teknologi dan kreativiti modal insan kita.
“Jika negara lain boleh berubah, saya yakin pereka muda kita juga boleh,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Minggu Reka Bentuk Sarawak 2023, yang diadakan hari ini di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini.
Sehubungan itu, untuk mencapai hasrat meningkatkan produk perkayuan kerajaan perlu komited untuk mentransformasikan industri berasaskan kayu di Sarawak.
“Ini impian kita, dan kita perlu meningkatkan teknologi serta tahap kreativiti modal insan kita,” katanya.
Dalam pada itu, Premier Sarawak memberitahu nilai eksport perabot kekal rendah, dengan Sarawak mengeksport sejumlah RM3.1 bilion dalam industri perkayuan dan produk kayu di seluruh dunia dari Januari hingga September 2022.
“Daripada jumlah ini, RM2.8 bilion adalah eksport papan lapis dan produk utama lain. Eksport perabot hanya mencatatkan RM44 juta iaitu hanya 1.4 peratus daripada jumlah nilai eksport.
Sementara itu, Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak akan mengambil langkah mendigitalkan taman perabot yang bakal dibangunkan di negeri ini.
Jelasnya, pendigitalan itu akan membolehkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di situ memanfaatkan teknologi untuk meningkatkan lagi nilai produk yang dihasilkan.
“Mereka boleh menggunakan kemudahan yang disediakan untuk menghasilkan simulasi reka bentuk dan data yang diperlukan untuk reka bentuk tersebut,” ujarnya lagi.
Minggu Reka Bentuk Sarawak 2023 yang diadakan selama empat hari bermula 13 Februari itu dianjurkan oleh Pusat Reka Bentuk Sarawak (SARADEC) dengan kerjasama Institut Teknologi Bandung (ITB).
Bertemakan ‘Design For Tomorrow’, ia menjadi platform mengumpulkan golongan profesional dari industri berkaitan serta peminat reka bentuk dengan tujuan mewujudkan kesedaran tentang kepentingan reka bentuk, menarik pembeli berpotensi dan hubungan kerjasama, mewujudkan imej jenama Sarawak, serta mewujudkan hab reka bentuk di negeri ini.
Pada program itu, Premier Sarawak serta tetamu jemputan yang lain turut menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) antara SARADEC dengan Universiti Teknologi Sarawak (UTS), Kolej Komuniti Miri, Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) dan Persatuan Perabot Korea (KOFA).
Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Gerald Rentap Jabu, Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Pengerusi SARADEC Datuk Mohd Naroden Majais.
Oleh Shahrul Qaizat & Mohd Neenatul Aizal