
PETRA JAYA: Sarawak berharap sebarang usaha ke arah perdamaian antara Iran dan Amerika Syarikat dapat membantu menstabilkan harga minyak dunia serta meredakan ketidaktentuan ekonomi global yang memberi kesan kepada banyak negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, keamanan di Asia Barat amat penting memandangkan konflik yang berlarutan boleh menjejaskan pasaran tenaga dunia dan seterusnya memberi kesan kepada pelbagai sektor ekonomi.
“Sudah tentu kita berharap kedamaian dapat dicapai kerana perkara ini telah menjejaskan kita dalam banyak cara.
“Contohnya harga minyak. Apabila berlaku sekatan di Selat Hormuz, harga bahan api dan harga minyak akan melonjak naik, dan dari situ ia akan menyebabkan harga perkara-perkara lain turut meningkat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri majlis memperingati ulang tahun ke-200 saintis dan pengembara Hungary, Janos Xantus di Pustaka Negeri Sarawak, hari ini.
Menurut Abdul Karim, meskipun terdapat perkembangan positif ke arah perdamaian, situasi di rantau berkenaan masih kompleks dan melibatkan banyak pihak.
“Kalau kita lihat, apabila ada perjanjian atau persetujuan antara Iran dan Amerika Syarikat, kita berharap peperangan dapat ditamatkan. Tetapi ia tidak semudah itu.
“Kita tahu betapa tidak menentunya Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Hari ini beliau boleh berkata satu perkara, esok mungkin perkara lain pula,” katanya.
Beliau berkata, konflik tersebut bukan hanya melibatkan Iran dan Amerika Syarikat, malah turut berkait dengan Israel dan Lubnan yang masing-masing mempunyai kepentingan tersendiri.
“Ada sebuah lagi negara yang sentiasa berada dalam situasi ini iaitu Israel. Cara Iran melihat perkara ini juga merupakan satu lagi faktor yang perlu diambil kira.
“Jika Israel masih meneruskan pengeboman dan pencerobohan di Lubnan, saya tidak fikir Iran akan berhenti kerana mereka mempunyai penyokong di selatan Lubnan,” katanya.
Abdul Karim berkata, masyarakat antarabangsa kini mengharapkan segala usaha diplomatik yang sedang dijalankan mampu membawa kepada keamanan yang berkekalan demi kestabilan ekonomi dan kesejahteraan global.
“Tetapi dengan adanya maklumat bahawa sudah ada kedamaian, seluruh perkara tersebut akan reda dan kita berharap ia akan kekal begitu,” katanya.
Oleh Shahrul Qaizat