
KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak memaklumkan bahawa negeri ini sedang mengalami cuaca panas dan kering berpanjangan yang meningkatkan risiko berlakunya kebakaran, khususnya di kawasan mudah terbakar seperti Bahagian Mukah dan Miri.
Sehubungan itu, semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) diarahkan untuk mengaktifkan dan mempersiapkan pasukan tindak balas masing-masing.
Keutamaan harus diberikan kepada penyelarasan berkesan di kawasan berisiko tinggi bagi memastikan tindakan pantas dalam memadam kebakaran serta menyalurkan bekalan air ke kawasan yang mengalami kekurangan air.
JPBB Miri pula diingatkan untuk sentiasa memantau dan memeriksa telaga air bagi mencegah dan mengawal kebakaran tanah gambut yang berpotensi merebak ketika cuaca kering ini.
Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) juga telah membatalkan semua lesen pembakaran terbuka sejak dua minggu lalu dan akan terus memantau keadaan semasa selain mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan pembakaran terbuka secara haram.
Sehubungan itu, semua syarikat dan pengusaha ladang diminta menghentikan serta-merta sebarang aktiviti pembakaran.
Pemilik tanah juga diingatkan agar sentiasa berwaspada dan memantau kawasan masing-masing daripada sebarang tanda kebakaran.
Orang awam turut dinasihatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan melaporkan sebarang kejadian berkaitan kepada NREB melalui talian hotline atau pejabat terdekat.
Kerjasama semua pihak amat penting bagi menjamin keselamatan awam dan memelihara alam sekitar sepanjang tempoh kritikal ini.