Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SEMASA
  • Sarawak bentang RUU tambah bilangan kerusi DUN Isnin ini
  • SEMASA

Sarawak bentang RUU tambah bilangan kerusi DUN Isnin ini

Utusan Sarawak 19 hours ago

PETRA JAYA: Rang undang-undang untuk menambah jumlah kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan dibentang pada sidang khas Isnin ini.

Ini susulan peningkatan ketara jumlah pengundi serta perubahan dalam jangkaan masyarakat terhadap wakil rakyat.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, RUU itu akan dibentangkan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurutnya, penambahan komposisi itu dilaksanakan mengikut Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Negeri Sarawak yang membenarkan DUN menambah keanggotaannya menerusi undang-undang.

RUU kali ini juga berpandukan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan, yang membenarkan semakan semula bahagian pilihan raya selepas tempoh minimum lapan tahun.

“Komposisi DUN Sarawak sudah beberapa kali melakukan penambahan daripada 56 kerusi kepada 62 kerusi pada 1995, kemudian ditambah 71 pada 2005 dan akhirnya 82 pada 2014. 

“Pindaan untuk menambah keahlian DUN hanya memerlukan majoriti mudah, berbanding pindaan lain yang memerlukan sokongan dua pertiga seperti diperuntukkan dalam Perkara 41(3)(a) Perlembagaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Pra-Persidangan Khas DUN Sarawak yang dipengerusikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Tun Openg, di ibu pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini hari ini.

Mohamad Asfia berkata peningkatan jumlah pengundi sekarang adalah hasil pelaksanaan Undi 18 yang telah mengubah secara signifikan landskap politik dan kawasan pilihan raya di Sarawak sejak 2014.

“Perkara ini secara langsung meningkatkan harapan rakyat dan mencipta landskap politik baharu buat para pemimpin serta wakil rakyat. 

“Saiz kawasan Parlimen dan DUN di Sarawak adalah luas dan semakin mencabar untuk diuruskan,” katanya.

Mohamad Asfia turut memberi contoh keluasan beberapa kawasan pilihan raya di Sarawak yang turut mendorong persempadanan semula perlu dilaksanakan.

“Parlimen Hulu Rajang contohnya memiliki keluasan 34,080 kilometer (km) persegi, Parlimen Baram pula 22,075km, manakala Bintulu yang mencatat jumlah pengundi tertinggi melebihi 113,000 orang.

“Keluasan dan cabaran geografi di kawasan itu menuntut lebih banyak wakil rakyat agar khidmat kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata kali terakhir jumlah keanggotaan DUN Sarawak ditambah adalah pada 2014, dan selaras dengan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan, pindaan sedemikian boleh dilakukan selepas tempoh lapan tahun.

Pada masa ini, DUN Sarawak mempunyai seramai 82 ADUN.

Menurutnya, sejak semakan terakhir pada 2014, jumlah pengundi di Sarawak meningkat ketara susulan penurunan umur pengundi kepada 18 tahun.

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 2014 pengundi berdaftar di Sarawak berjumlah 1.2 juta, manakala pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 pada 2022 meningkat kepada 1.9 juta.

Oleh AMANDA L.

Continue Reading

Previous: Tiada ejen dilantik, urusan imigresen hanya di pejabat – KP Imigresen
Next: Galeri Nurly Sahirah akan diwujudkan di UPSI – Mohd Na’im

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.