DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah
KUCHING: Kerajaan Sarawak masih belum membuat keputusan berhubung cadangan Majlis Pemulihan Negara (MPN) untuk membuka semula sempadan negara sepenuhnya pada 1 Mac depan.
Bagaimanapun, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata ini adalah masa yang sesuai untuk membuka sempadan memandangkan banyak negara telah berbuat demikian.
“Banyak negara telah membuka sempadan antarabangsa mereka. Jika kita tidak mengikut, kita akan menghadapi masalah. Oleh itu, saya mengalu-alukan sepenuhnya cadangan MPN dan tanpa kuarantin wajib dikenakan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Sarawak X-Tive 2022 di Kuching, semalam.
Tambahnya, jika sempadan dibuka, rakyat Sarawak tidak perlu khuatir memandangkan mereka telah divaksinasi termasuk mendapat suntikan penggalak.
“Selagi sudah divaksinasi, kita tidak perlu bimbang. Apa yang penting ialah ialah mesti mematuhi semua Prosedur Operasi Standard (SOP),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong keperluan untuk terus menggunakan borang pengisytiharan e-Kesihatan kerana borang itu boleh diluluskan dalam talian dengan segera.
“Namun, saya sangat tidak bersetuju Sarawak mewajibkan pelawat mengemukakan permohonan melalui EnterSarawak. Ini kerana, EnterSarawak diproses secara manual yang mana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak menerima sehingga beribu-ribu permohonan setiap hari. Dengan hanya beberapa kakitangan yang tersedia untuk memproses, mereka tidak dapat mengatasinya sehingga menyebabkan permohonan menjadi lambat,” katanya lagi.
Oleh NUR AIN OTSMAN