
KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan akan bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan bagi menjayakan penganjuran Tahun Melawat Malaysia 2026 (Visit Malaysia Year 2026) sebagai sebahagian daripada agenda nasional untuk memperkukuh sektor pelancongan negara.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata walaupun program berkenaan merupakan inisiatif peringkat pusat yang dianjurkan oleh Tourism Malaysia di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Sarawak komited memberikan sokongan penuh.

“Kita membantu agenda nasional kerana kita berada dalam satu Malaysia. Tidak elok untuk kita bergerak secara bersendirian,” katanya ketika ditemui media pada acara mengalu-alukan pelancong di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, hari ini.
Menurutnya, sambutan permulaan Tahun Melawat Malaysia 2026 di Sarawak diadakan serentak di sembilan pintu masuk utama melibatkan laluan udara dan darat termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu, serta pintu masuk darat di Biawak, Tebedu dan Sungai Tujuh.
Abdul Karim berkata, sasaran ketibaan pelancong bagi Tahun Melawat Malaysia 2026 ditetapkan sebanyak 43 juta orang, meningkat tiga juta berbanding sasaran 40 juta pada 2025.
“Sehingga November lalu, ketibaan pelancong telah mencecah 38.3 juta dan saya percaya sasaran 40 juta bagi 2025 mampu dicapai apabila data penuh diperoleh,” katanya.
Mengulas prestasi pelancongan Sarawak, beliau berkata negeri ini menyasarkan lima juta pelancong bagi 2025, dengan 4.42 juta ketibaan direkodkan setakat November lalu.
“Walaupun kita mungkin tidak mencapai sasaran lima juta, pencapaian ini tetap sangat baik kerana bagi tempoh 11 bulan pertama, hasil pelancongan mencatat purata lebih RM1 bilion sebulan,” jelasnya.
Beliau berkata, sasaran pelancong Sarawak bagi 2026 akan ditentukan selepas prestasi penuh 2025 dimuktamadkan, memandangkan negeri ini belum pernah mencatatkan lima juta ketibaan pelancong sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Karim memaklumkan berlaku lonjakan ketara ketibaan pelancong dari Indonesia dan Brunei sejak beberapa hari lalu, khususnya menjelang sambutan Ambang Tahun Baharu 2026.
“Saya memantau sendiri kehadiran pelancong dalam tempoh tiga hari sebelum 31 Disember dan memang jelas terdapat peningkatan, terutama di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) Tebedu.
“Ramai pelancong dari Indonesia datang bukan sahaja untuk bercuti tetapi bagi menghadiri konsert dan sambutan Ambang 2026,” katanya.
Menurutnya, penganjuran konsert dengan penglibatan artis dari Indonesia serta festival di Miri turut menjadi tarikan utama yang mendorong peningkatan kemasukan pelancong dari negara jiran.
Oleh Shahrul Qaizat