KUCHING: Sarawak komited untuk membangunkan empat tapak penyimpanan karbon menjelang 2030 dengan melantik Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai pengurus sumber dalam pemerapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon (CCUS).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif ini akan memacu inovasi CCUS untuk mengurangkan karbon dalam industri utama dan menyumbang kepada matlamat sifar bersih di rantau Asia Pasifik.
“Pada Februari tahun ini, Petros menandatangani Perjanjian Tapak Penyimpanan dengan Petronas melalui anak syarikatnya, CCS Ventures, dan Parti Konsortium Jepun untuk lapangan M3 di luar pesisir Sarawak.
“Kerjasama ini mewakili langkah maju dalam mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di rantau Asia Pasifik, termasuk di Malaysia dan Jepun.
“Pada Julai 2024, kami melancarkan Sarawak Bid Round, yang menawarkan tiga tapak penyimpanan karbon dengan kapasiti anggaran penyimpanan sekitar 1,000 juta tan (MT) CO2 (karbon dioksida).
“Inisiatif ini membuka peluang baharu untuk perkongsian antarabangsa dan mengukuhkan kepimpinan Sarawak dalam inisiatif CCUS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pelan Hala Tuju Gas Sarawak di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan bahawa usaha ini selaras dengan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dilancarkan tahun lepas.
Katanya, NETR mengenal pasti CCUS sebagai salah satu daripada enam pemacu kritikal peralihan tenaga, yang dijangka mencipta lebih daripada 200,000 pekerjaan dan menghasilkan sekitar RM250 bilion dalam nilai kasar untuk 30 tahun akan datang.
“Oleh itu, Sarawak juga komited terhadap tenaga boleh diperbaharui.
“Sarawak menerajui rantau ini dalam pengeluaran tenaga bersih dengan kapasiti hidroelektrik yang besar dan menyasarkan untuk mencapai kapasiti 15-Gigawatt (GW) menjelang 2035.
“Perkembangan ini meletakkan Sarawak sebagai kuasa tenaga hijau serantau, yang membolehkan pengeksportan elektrik mampan ke negara jiran, termasuk Singapura, Indonesia, dan seterusnya,” katanya.
Oleh Mohd Neenatul Aizal