
KUCHING: Sarawak bakal muncul sebagai pelopor tenaga bio di rantau ini menerusi pendekatan ‘jangan bazirkan sisa, jana pendapatan daripada sisa’ dengan menjadikan sisa kelapa sawit sebagai sumber baharu tenaga hijau dan bahan api mampan (SAF).
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada strategi ekonomi kitar semula Sarawak yang bukan sahaja mengurangkan pencemaran, malah memberi nilai tambah kepada sisa industri.

“Sarawak menghasilkan banyak sisa daripada industri kelapa sawit. Jika kita memprosesnya, khususnya isirung sawit ia boleh dihancurkan untuk menghasilkan biojisim, biogas serta palet yang boleh digunakan sebagai bahan bakar.
“Syarikat penerbangan hari ini juga memerlukan bahan api mampan berasaskan biogas,” katanya.
Abang Johari menegaskan bahawa langkah memanfaatkan sisa bio tersebut telah beliau bentangkan dalam mesyuarat komuniti perniagaan ASEAN di Kuala Lumpur baru-baru ini, dengan mesej yang jelas agar negara-negara serantau tidak membazirkan sisa, sebaliknya menukarkannya kepada sumber yang bernilai.

“Jangan bazirkan sisa, sebaliknya jana pendapatan daripadanya. Inilah cara kita memberi nilai kepada sisa dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tanpa menjejaskan alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog bersama CNN di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), sempena Forum Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SAREF 4.0), hari ini.
Beliau berkata strategi tenaga bio itu melengkapi usaha Sarawak dalam meneroka pelbagai sumber tenaga hijau lain termasuk hidro, solar, hidrogen dan ammonia, bagi menjadikan negeri ini pusat tenaga lestari serantau.
Oleh Shahrul Qaizat & Masrin Affirah