SIBU: Sarawak akan bekerjasama dengan Jepun melalui syarikat Petroleum Sarawak Berhad (Petros) untuk membangunkan sektor tenaga hidrogen, menjadikan negeri ini sebagai pusat utama pengeluaran ammonia di Malaysia.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata rancangan besar ini, yang melibatkan teknologi terkini dalam pengeluaran tenaga, dijangka dimuktamadkan pada Mei tahun ini.
Menurutnya, kerjasama strategik ini membuka peluang bagi Sarawak untuk menjadi hab tenaga hijau global.
“Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, mengiktiraf Sarawak sebagai satu-satunya negeri di Malaysia yang mampu memberikan sumbangan signifikan dalam penyelesaian isu iklim global.
“Perancangan ini akan membawa manfaat besar bukan sahaja untuk Malaysia malah juga untuk keseluruhan dunia.
“Lokasi pengeluaran akan berada di Sarawak, dan kami sudah mempunyai metanol milik Sarawak di Bintulu, dengan kilang ammonia bakal ditubuhkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Tengah di Stadium Tertutup Sibu, hari ini.
Abang Johari turut berkongsi visi untuk masa depan tenaga global, yang melihat dunia tidak lagi bergantung kepada minyak dan gas dalam lima tahun akan datang.
Sebaliknya, kata beliau, tenaga baharu akan datang dari gas sintetik yang terdiri daripada kombinasi karbon dan hidrogen hijau.
“Sarawak bersedia untuk menjadi perintis dalam teknologi ini.
“Sarawak mempunyai sumber air yang melimpah, seperti empangan, sungai, dan air hujan, yang dapat digunakan dalam teknologi Methylcyclohexane (MCH) untuk menghasilkan tenaga hijau,” tambahnya.
Beliau menambah bahawa kerjasama dengan Jepun ini mendapat sokongan penuh Perdana Menteri Jepun, yang menunjukkan kepercayaan antarabangsa terhadap potensi Sarawak.
“Saya bangga dengan pencapaian ini. Tanpa PBB, dunia mungkin tidak tahu apa yang Sarawak mampu lakukan,” kata Abang Johari.
Oleh TARANI LANTING dan AKUN GIMAN