MIRI: Sarawak bakal memiliki ekonomi gah pada masa hadapan, kerana kebijaksanaan pemimpinnya mengambil peluang terhadap ekonomi baharu, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, langkah diambil kerajaan Sarawak adalah bijak dengan menerokai peluang semasa yang ada.
“Saya ucap tahniah kepada kerajaan Sarawak kerana cepat menangkap, kalau kita ada pelaburan. Sarawak sekarang termasuk Miri, sudah menjadi medan hab tenaga bagi rantau kita.
“Mana-mana negara kalau tengok di mana hab tenaga yang boleh membekal tenaga hijau, tenaga alternatif atau hidrogen, dia lihat terus ke Sarawak.
“Jadi Sarawak mempunyai potensi kekuatan ekonomi yang gagah di masa hadapan,” kata semasa berucap pada majlis perasmian Program Madani Rakyat 2024 Sarawakku Sayang di sini hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.
Anwar berkata, Kerajaan Pusat menyokong sepenuhnya arah tuju yang dipilih oleh pemimpin Sarawak.
Katanya, ia penting agar politik di negeri ini terus stabil dan dapat fokus ke arah pembangunan.
“Kita tak pernah melepaskan pembangunan ini, pembangunan seluruh negara. Saya bincang soal tenaga, dan tentunya lain-lain.
“Sarawak tetap disebut dan disokong supaya menjadi sesuatu yang benar-benar berhasil dan berjaya,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling