
PETRA JAYA: Sarawak sekali lagi bakal menjadi tumpuan apabila Kejohanan Tarian Naga dan Singa Antarabangsa Sarawak 2025 (Sarawak Open International Dragon and Lion Dance Cup) berlangsung di Dewan Serbaguna Ang Cheng Ho Quarry, Batu Kawa pada 1 dan 2 November ini.
Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, kejohanan edisi kedua itu dianjurkan oleh Persatuan Seni Mempertahankan Diri Cina Bahagian Kuching dengan kerjasama kementeriannya, selepas kejayaan penganjuran sulung tahun lalu
Katanya, acara tersebut kini menjadi salah satu acara tahunan dalam kalendar sukan dan budaya negeri yang bukan sahaja menonjolkan keindahan warisan seni tradisional, tetapi turut menarik kehadiran pelancong dalam dan luar negara.
“Kementerian amat berbangga melihat pertumbuhan acara sukan seperti ini yang mampu mempamerkan kekayaan budaya serta tradisi seni masyarakat kita kepada penonton tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Kejohanan Tarian Naga dan Singa Antarabangsa 2025 di Bangunan Baitulmakmur II, di sini hari ini.
Snowdan berkata, kejohanan tahun ini bakal menghimpunkan 46 pasukan dari Malaysia, Filipina, China, Indonesia dan Singapura, termasuk penyertaan juara dunia dan juara Asia kategori ‘Moonlight Dragon’ serta penyandang juara bertahan kategori ‘High Pole’ dari China.
Beliau berkata, acara itu turut menampilkan empat kategori pertandingan iaitu Moonlight Dragon, Northern Light Dragon, High Pole Southern Lion Dance dan Traditional Southern Lion Dance, dengan keseluruhan hadiah bernilai RM65,000 termasuk wang tunai, piala dan pingat.
“Ini peluang terbaik untuk pasukan tempatan memperoleh pendedahan di peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan mutu persembahan dan pengurusan sukan ini di Sarawak,” katanya.
Menurutnya lagi, kementerian turut memberikan geran sokongan bagi membantu penganjur memastikan kejohanan itu mencapai standard antarabangsa dan menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.
“Kita mahu acara seperti ini menjadi acara tahunan yang mampan dan mampu menarik lebih ramai pengunjung ke Sarawak, sejajar dengan sasaran kita mencapai lima juta pelancong tahun ini,” tambahnya.
Oleh Shahrul Qaizat