
KUCHING: Kerajaan Sarawak kini mengambil langkah proaktif dengan meminda undang-undang sedia ada secara berkala bagi memastikan ia kekal relevan dan selari dengan perkembangan semasa.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata beliau telah mengarahkan Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAG) untuk menubuhkan sebuah Bahagian Penyelidikan khas.

“Bahagian ini akan menjalankan kajian menyeluruh terhadap undang-undang negeri, khususnya yang dianggap sudah lapuk dan tidak lagi sesuai dengan keperluan semasa.
“Sebelum ini, tiada Bahagian Penyelidikan di dalam Jabatan Peguam Besar Negeri Sarawak (SAG), namun kini ia telah diwujudkan.
“Saya telah meminta Dato Sri Talat Mahmood Abdul Rashid, bekas Peguam Besar Negeri, untuk menjalankan kajian khas bagi menilai dan meneliti semula undang-undang yang sedia ada.
“Kajian ini turut merangkumi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta pelbagai undang-undang lama yang perlu disemak semula.
“Sekiranya terdapat undang-undang lain yang berkaitan dengan perdagangan, kita perlu mempertimbangkan undang-undang tersebut serta peranan kita dalam konteks itu,” ujarnya ketika berucap pada majlis Apresiasi Kementerian Sumber Asli Dan Pembangunan Bandar (MUDENR) di sebuah hotel terkemuka semalam.
Beliau menekankan pentingnya semakan semula ini bagi memastikan undang-undang negeri tidak ketinggalan, terutamanya yang berkaitan dengan perdagangan, alam sekitar dan pelaburan.
Pada penghujung majlis, beliau turut berkesempatan menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang MUDENR bagi 2024 dan juga menyampaikan sijil penghargaan kepada staf yang bersara serta berpindah.
Turut hadir, isteri kepada Premier Sarawak Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Menteri MUDENR Datuk Len Talif Salleh dan Setiausaha Tetap MUDENR Datu Abdullah Julaihi. – UKAS