
MIRI: Kerajaan Sarawak terus mengambil langkah proaktif dalam memperkukuh infrastruktur penerbangan negeri dengan mempercepat pembangunan lapangan terbang, menangani isu keselamatan penerbangan termasuk ancaman serangan burung, serta memastikan kelancaran proses pengoperasian AirBorneo.
Perkara ini dibincangkan dalam Mesyuarat Subkomiti Penerbangan di bawah Jawatankuasa Pengangkutan Awam Sarawak SPTC yang dipengerusikan oleh Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin.
Mesyuarat yang diadakan di Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia CAAM, Lapangan Terbang Miri hari ini turut dihadiri oleh wakil Malaysia Airports Holdings Berhad MAHB, MASwings, CAAM, Sarawak Energy, Sarawak Forestry serta pelbagai agensi berkepentingan lain.
Dalam sesi perbincangan, Lee memaklumkan bahawa projek peluasan STOLport Bario kini telah mencapai 26 peratus siap, iaitu 1 peratus lebih awal daripada jadual yang ditetapkan.
Projek ini melibatkan pemanjangan landasan sejauh 265 meter, menjadikan panjang keseluruhan 930 meter, di samping cadangan memperluaskan apron dan menaik taraf bangunan terminal bagi meningkatkan kapasiti operasi serta keselesaan penumpang.
Lapangan Terbang Limbang pula bakal menjalani proses penaiktarafan dengan pemanjangan landasan kepada 1,790 meter serta pemasangan sistem pencahayaan baharu bagi meningkatkan keselamatan penerbangan.
Projek ini dibiayai oleh kerajaan persekutuan dengan peruntukan RM50 juta dan kini dalam fasa persediaan tender.
Dalam pada itu, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) telah meluluskan pembinaan Lapangan Terbang Lawas baharu di lokasi lebih strategik, dengan proses tender dijangka bermula pada Jun.
Projek ini bakal memperkukuh jaringan penerbangan di utara Sarawak.
Selain itu, STOLport Marudi dan Lapangan Terbang Mulu turut disenaraikan dalam projek penyelenggaraan dan penaiktarafan oleh MAHB.
Dalam mesyuarat tersebut, Lee turut menekankan isu keselamatan penerbangan, khususnya peningkatan insiden serangan burung di beberapa lapangan terbang seperti Limbang, Mulu, Mukah dan Miri.
Sarawak Forestry Corporation telah diberi tanggungjawab menjalankan kajian terperinci terhadap corak migrasi burung dan mengenal pasti punca peningkatan insiden ini.
Langkah mitigasi yang sesuai akan diperkenalkan bagi mengurangkan risiko kepada operasi penerbangan.
Menyentuh mengenai perkembangan syarikat penerbangan baharu AirBorneo, Lee menjelaskan bahawa proses mendapatkan kelulusan dan pematuhan kepada piawaian penerbangan tempatan serta antarabangsa sedang berjalan.
“Penubuhan AirBorneo memerlukan pematuhan ketat kepada peraturan termasuk kelulusan daripada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa ICAO dan Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa IATA.
“Kami sedang giat berusaha memenuhi semua keperluan ini, yang dijangka mengambil masa sekitar 12 bulan sebelum operasi penuh dapat dimulakan,” katanya.
Mesyuarat ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak, khususnya menerusi Kementerian Pengangkutan Sarawak MOTS, dalam meningkatkan infrastruktur penerbangan bagi memperkukuh kesalinghubungan udara serta menyokong pertumbuhan ekonomi negeri.