
SIMANGGANG: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan bahawa pentadbiran kerajaan Sarawak berlandaskan prinsip Piagam Madinah, yang menekankan keadilan dan kesaksamaan kepada semua rakyat, tanpa mengira agama, bangsa, atau latar belakang.
Pendekatan ini bertujuan memastikan keharmonian, kesejahteraan, dan peluang yang saksama untuk setiap lapisan masyarakat di Sarawak.
Premier Sarawak turut menegaskan bahawa kerajaan Sarawak bukan sahaja menubuhkan institusi untuk umat Islam, malah turut menyediakan sebuah institusi khas bagi masyarakat bukan Islam, iaitu Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).
“Kita telah menubuhkan kerajaan yang menegakkan keadilan untuk semua, tanpa mengira agama, sama ada Islam mahupun bukan Islam. Bagi masyarakat Islam di Sarawak, kita memiliki Kompleks Islam Sarawak yang menjadi pusat pelbagai aktiviti – ekonomi, sosial, kerohanian, serta pentadbiran dan pengurusan. Sementara itu, bagi masyarakat bukan Islam, kita juga mempunyai UNIFOR, menjadikan Sarawak antara negeri terawal dan satu-satunya negeri yang memiliki inisiatif ini,” katanya.

Beliau menambah bahawa pendekatan pentadbiran kerajaan Sarawak selari dengan nilai-nilai Piagam Madinah, di mana keadilan, toleransi, dan keharmonian menjadi asas dalam pengurusan masyarakat majmuk.
“Jika ada yang bertanya mengapa kita mengambil pendekatan ini, jawapannya adalah kerana mengikut Piagam Madinah, Nabi Muhammad SAW berlaku adil kepada semua. Jika kita ingin mengambil inspirasi daripada cara Baginda memerintah Madinah dalam kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam, maka caranya ialah dengan keadilan.
“Sebagai pemimpin anda, saya berlaku adil kepada semua masyarakat sama ada yang Islam dan juga bukan Islam,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kompleks Islam Sarawak di Sri Aman, hari ini.
Selain itu, beliau turut mengumumkan perancangan pembinaan tebingan sungai baharu di Sri Aman, serta pembinaan jalan raya baharu untuk menggantikan laluan sedia ada yang uzur dan sukar digunakan.
“Saya baru-baru ini melalui jalan kampung menuju ke Lingga dan mendapati keadaan jalan tersebut sangat teruk untuk kegunaan harian. Oleh itu, kita akan membina jalan raya baharu,” katanya.
Semua inisiatif ini, tegas Premier Sarawak, adalah bertujuan untuk memulangkan kembali hasil Sarawak kepada rakyat.
“Saya ingin memberi kembali apa yang kita dapat daripada hasil Sarawak dan rezeki itu kita kembalikan semula kepada rakyat,” katanya mengakhiri ucapan.
-SARAWAKKU