WIRA tinju Sarawak bergambar bersama pingat masing-masing.
KONTINJEN Sarawak menduduki tempat keempat dalam temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Ke-20 MSN Kuala Lumpur 2022 yang melabuhkan tirainya kelmarin.
Bumi Kenyalang turut berbangga kerana berjaya muncul juara keseluruhan dalam empat acara sukan iaitu tenpin boling, bola tampar dewan, terjun dan memanah.
Sekalipun berjaya mencapai sasaran kedudukan empat teratas dari 15 negeri yang mengambil bahagian, jumlah kutipan pingat Sarawak kali ini ialah 32 pingat emas, 43 perak dan 52 gangsa selepas bersaing selama 10 hari dalam 31 acara sukan.
Edisi kali ini juga menyaksikan beberapa acara sukan pilihan yang disandarkan untuk menghadiahkan ingat emas tidak
kesampaian antaranya wushu,lawn bowl, sepak takraw, angkat berat dan beberapa lagi acara sukan lain.
Selepas kilauan emas pertama Sarawak disumbangkan oleh atlet kebangsaan, Jonah Chang Rigan dalam acara lontar
peluru pada 15 September, atlet Bumi Kenyalang terus mengorak langkah dengan beberapa acara sukan mula garang merangkul pingat emas.
Acara renang menjadi penyumbang terbesar pingat Sarawak dengan meraih lima emas, sembilan perak dan tujuh gangsa, diikuti olahraga dengan lima emas, empat perak dan enam gangsa.
Tenpin boling ketiga tertinggi dengan empat emas, dua perak dan empat gangsa disusuli memanah dengan empat emas, satu perak dan satu gangsa, terjun dengan dua emas, tiga perak dan satu gangsa manakala silat dengan
dua emas, dua perak dan enam gangsa.
Skuad tenpin boling Sarawak paling cemerlang apabila berjaya mempertahankan kejuaraan buat kali keempat berturut-turut pada SUKMA ini.
Selain itu, beberapa acara sukan turut menunjukkan kebangkitan pada SUKMA kali ini antara tinju yang membantu
Sarawak memintas Selangor pada saat akhir selepas menyumbang dua pingat emas,dua perak dan satu gangsa.
Sukan muaythai turut mengekalkan konsistensi dengan menghadirkan dua pingat emas dan tiga gangsa manakala
badminton juga melakar sejarah apabila memenangi pingat gangsa dalam acara beregu campuran selepas hampir 30 gagal melakukannya dalam temasya SUKMA sebelum ini.
SUKMA kali ini juga menyaksikan kemunculan atlet-atlet baharu Sarawak yang mempunyai potensi besar seperti atlet terjun, Elvis Priestly Clement dan Jared Aiden yang berjaya merangkul pingat emas dalam acara Platfrom Seirama lelaki. Tempat kedua milik Terengganu dengan 64 emas, 49 perak dan 56 gangsa manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di kedudukan ketiga dengan 55 emas, 68 perak dan 64 gangsa.
Oleh NUR AIN OTSMAN