SIBU: Enam wanita, antara 22 suspek yang ditahan dalam Ops Soga IX di seluruh negeri ini kerana terlibat dalam pertaruhan haram Piala Dunia Qatar 2022 yang kini sedang berlangsung.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, semua suspek yang ditahan itu berusia 18 hingga 53 tahun.
Katanya, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu merekodkan tangkapan paling ramai iaitu enam suspek, diikuti Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak (lima suspek), IPD Kuching dan Pedawan (masing-masing tiga suspek), IPD Miri (dua suspek), IPD Sibu, Sarikei dan Kota Samarahan (masing-masing seorang suspek).
“Sebanyak 20 kertas siasatan dibuka di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Daripada jumlah itu, dua kertas siasatan telah dirujuk kepada timbalan pendakwa raya, manakala selebihnya masih dalam siasatan.
“Kesemua kes itu disiasat di bawah Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1963, Seksyen 6(1) Akta Pertaruhan 1963, Seksyen 4(1)(d) Akta Pertaruhan 1963 dan Seksyen 4(1) (C) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya pada sidang media, di sini petang ini.
Katanya, wang tunai berjumlah RM3,983 bersama telefon, tablet, komputer riba, komputer dan 25 keping kertas jadual Piala Dunia 2022 serta kertas pertaruhan, dirampas dalam operasi itu.
“Objektif utama Ops Soga IX yang akan berlangsung sehingga 21 Disember ini adalah untuk mencegah dan membanteras aktiviti pertaruhan tanpa lesen sah sepanjang berlangsungnya piala dunia.
“Selain itu, ia bertujuan menangkap sindiket atau individu yang bertindak sebagai ‘bookie’ dan mendakwa mereka di mahkamah mengikut peruntukan undang-undang di bawah Akta Pertaruhan 1953 dan Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti perjudian boleh mengemukakan maklumat itu melalui talian hotline Whatsapp Ops Soga di 013-5253052.
Oleh AKUN GIMAN