
SARATOK: Program Sambutan Hari Wanita Sarawak 2025 (HW25) Peringkat Daerah Saratok berlangsung dengan penuh meriah dan semangat kebersamaan di Dewan Pejabat Daerah Saratok, semalam.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Norlida Sharkawi dan isteri ADUN Krian, Anie Isek yang turut sama memeriahkan acara dan memberi sokongan kepada usaha memperkasakan wanita di peringkat akar umbi.
Tema sambutan tahun ini, ‘Kepelbagaian, Kesaksamaan, Keterangkuman’ (DEI) (Diversity, Equality, Inclusivity) menekankan kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman sebagai asas memperkukuh peranan wanita dalam masyarakat moden.
Sambutan peringkat negeri telah disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg secara serentak di seluruh negeri melalui siaran langsung dari Kuching.
Majlis berprestij itu turut disaksikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah, yang terus komited memperjuangkan agenda pembangunan wanita secara menyeluruh.
Daerah Saratok merupakan salah satu daripada 45 daerah di seluruh Sarawak yang mengambil bahagian dalam sambutan bersejarah ini melalui sidang video Zoom.
Di Daerah Saratok, seramai 50 wanita hadir bagi memeriahkan acara, terdiri daripada wakil-wakil Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Wanita serta kakitangan Pejabat Daerah Saratok.
Program ini bukan sahaja menjadi platform penghargaan kepada sumbangan wanita, malah mengukuhkan jaringan kerjasama antara komuniti wanita dan agensi kerajaan dalam menyokong pembangunan negeri.
Oleh Adi Safarman