
SARATOK: Daerah Saratok kini semakin pesat membangun seiring dengan daerah-daerah lain di Bahagian Betong, hasil daripada inisiatif berterusan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam merancakkan pembangunan luar bandar.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kemajuan ini turut diterjemahkan melalui sambutan luar biasa penduduk terhadap pesta rakyat yang berlangsung hari ini.
Beliau berkata kemeriahan pesta ini adalah cerminan kejayaan dasar pembangunan kerajaan GPS yang dirasai oleh rakyat di peringkat akar umbi.
“Ini bukti bahawa usaha pembangunan kerajaan GPS benar-benar berkesan. Ekonomi rakyat semakin baik, dan sambutan seperti ini menunjukkan rakyat kini lebih terlibat dan menikmati hasil kemajuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg semasa merasmikan Majlis Penangguhan Pesta Saratok 2025 bertempat di Pentas Utama Sri Kalaka, hari ini.
Uggah berkata dalam usaha mempergiatkan lagi pembangunan di Bahagian Betong termasuk Saratok, kerajaan Sarawak telah menubuhkan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) yang diperuntukkan dana sebanyak RM1.5 bilion, jumlah yang belum pernah diterima oleh bahagian ini sebelum ini dalam satu masa.
Beliau menjelaskan bahawa penubuhan BDDA adalah sebahagian daripada pendekatan baharu kerajaan negeri dalam merancang pembangunan, dikenali sebagai pendekatan akar umbi.
“Segala perancangan pembangunan diatur dengan penglibatan terus rakyat di akar umbi, dipimpin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen GPS. Ini memastikan setiap projek yang dijalankan adalah benar-benar apa yang diperlukan rakyat,” jelas beliau.
Uggah turut mendedahkan bahawa setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah BDDA telah diperuntukkan sebanyak RM200 juta, sekali gus mencipta sejarah dalam aspek peruntukan pembangunan wilayah.
Dana ini katanya akan dimanfaatkan bagi pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur seperti pembinaan jalan baharu, penyediaan bekalan elektrik dan air di kawasan yang masih belum menikmati kemudahan tersebut. Selain itu, BDDA juga diberikan kuasa untuk melaksanakan projek-projek ekonomi yang bertujuan meningkatkan pendapatan rakyat.
“Dengan peruntukan ini, kita yakin ia akan membawa perubahan besar dan meningkatkan taraf hidup rakyat seiring dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030),” katanya.

Menurut beliau lagi, hasil pembangunan dan pertumbuhan ekonomi Sarawak kini sudah jelas terbukti apabila pendapatan negeri meningkat kepada RM14.2 bilion pada tahun 2024, berbanding hanya RM6.86 bilion pada 2017.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang terus memberi sokongan padu kepada GPS pada setiap pilihan raya, serta menggesa agar sokongan itu diteruskan demi kelangsungan pembangunan negeri.
“Matlamat kita ialah membangunkan Wilayah Sarawak berlandaskan PCDS 2030, yang menekankan kemakmuran, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar. Tiada siapa akan ditinggalkan,” tambahnya.
Sementara itu, beliau turut menyatakan bahawa penganjuran aktiviti seperti pesta rakyat dan lumba perahu yang menjadi identiti Saratok sejak tahun 1965, bukan sekadar untuk hiburan, tetapi bertujuan memperkukuh perpaduan dan memupuk semangat masyarakat setempat dalam arus pembangunan.
Oleh Adi Safarman