SARATOK: Bandar Sejahtera, itulah visi yang ingin dicapai di Saratok, sebuah pekan yang agak jauh dari hiruk-pikuk kota mahupun kesesakan lalu lintas dengan suasana sekitarnya yang tenang dan lengang.
Jarak Saratok dari bandar raya Kuching adalah 302 kilometer (km) dan perjalanan darat dari ibu negeri Sarawak ini ke pekan itu menerusi Lebuhraya Pan Borneo (LPB) yang sedang giat dibina mengambil masa hampir lima jam.
Hanya kesibukan parti-parti politik yang berkempen untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada waktu ini merancakkan sedikit senario di pekan ini yang kebiasaannya sepi sehinggakan pasar malamnya pun hanya beroperasi setakat 8.00 malam sahaja.
Namun keadaan ini bakal berubah dalam beberapa tahun lagi menerusi inisiatif Kerajaan Sarawak untuk merobah landskap di Saratok yang telah dikenal pasti sebagai sebahagian daripada kawasan pembangunan di bawah seliaan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).
“Menerusi BDDA, kerajaan negeri telah merencanakan pelbagai pembangunan yang dapat menghidupkan lagi suasana di Saratok,” kata Pegawai Daerah Saratok Haron Mahidi sewaktu ditemui Bernama baru-baru ini.
Sebagai anak jati Sarawak yang lahir di bandar raya Kuching, Haron tidak pernah memikirkan perpindahannya ke pekan sekecil Saratok dua tahun lalu sebagai satu masalah namun melihatnya sebagai peluang baginya menyumbang bakti sebagai seorang penjawat awam untuk memudahkan pelaksanaan pembangunan di kawasan itu.
“Saya percaya dalam tempoh 10 tahun akan datang Saratok akan menyaksikan banyak pembangunan dengan wujudnya pusat bandar baru yang mampu mengubah landskap Saratok, sekali gus meningkatkan lagi sosioekonomi penduduk di sini,” katanya.
Beliau berkata pembinaan Tebingan Sungai Saratok, pembinaan jambatan penghubung antara pekan Saratok ke Kampung Kupang yang meliputi 14 rumah panjang, pembinaan bangunan kedai baharu serta pembinaan kompleks kerajaan adalah antara rancangan yang telah dicarta BDDA.
Kerajaan Sarawak memperuntukkan sejumlah RM1.5 bilion untuk digunakan bagi melaksanakan projek pembangunan di bawah agensi berkenaan yang dipengerusikan oleh Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Haron berkata, pembangunan yang sedang dilaksanakan ini adalah secara berfasa dengan tumpuan awal diberikan kepada penyediaan infrastruktur di kawasan-kawasan perkampungan dan rumah-rumah panjang, sebelum beransur-ansur dilebarkan ke kawasan pekan Saratok.
Strategi pelaksanaan rancangan pembangunan secara berfasa itu katanya, bertujuan memastikan penduduk kawasan perkampungan dan rumah panjang mempunyai akses kepada kemudahan asas yang baik dengan menaik taraf jalan raya, pembinaan sistem perparitan, bekalan air bersih dan elektrik.
“Kalau anda berada di pekan (Saratok) memang tidak banyak perubahan yang boleh dilihat kerana kebanyakan pembangunan adalah di kawasan-kawasan kampung. Dulu kebanyakan jalan penghubung ke pekan ini berbatu-batu, namun setelah dinaik taraf secara berperingkat kebanyakannya kini sudah diturap,” kata Haron.
Namun di sebalik perubahan yang agak perlahan di pekan itu, ia sudah dilengkapi dengan fasiliti dan kemudahan seperti hospital, bangunan kerajaan persekutuan, sekolah, perpustakaan awam, balai polis, balai bomba, bank, pasar raya dan lain-lain.
Menurutnya, dengan menaik taraf jalan-jalan kampung terlebih dahulu, ia akan memudahkan para petani memasarkan hasil tani mereka yang segar terus ke bandar-bandar terdekat seperti Sarikei yang terletak 57km jauhnya dari Saratok, serta Sibu yang berjarak 111km.
“Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo turut memberikan impak kepada penduduk di kawasan Saratok ini kerana ia dapat menyingkatkan lagi perjalanan dari lebih dua jam kepada kira-kira satu jam 30 minit (dari bandar Sibu). Dulu jalan sehala kini dua hala dan perjalanan juga jauh lebih selesa dan selamat,” katanya.
Bahang PRU-15 memang dirasai di pekan ini yang diletakkan di bawah Parlimen Saratok dengan penyandangnya, Datuk Ali Biju daripada Bersatu yang mewakili Perikatan Nasional (PN) akan cuba mempertahankan kerusi dimenanginya sebagai calon PKR dalam PRU-14 pada 2018.
Beliau dijangka menghadapi persaingan sengit calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) daripada Parti Demokratik Progresif (PDP), Giendam Jonathan Tait dan calon Pakatan Harapan daripada PKR, Ibil Jaya untuk memenangi hati 44,531 pemilih berdaftar di kawasan Parlimen itu.
Apa yang menarik dalam persaingan ini ialah ketiga-tiga calon ini mempunyai pertalian keluarga antara satu sama lain dengan kesemua mereka berasal dari Sebetan, sebuah perkampungan rumah panjang Iban di Parlimen Saratok.
Di sebalik kerancakan kempen yang dijalankan oleh ketiga-tiga calon ini, sudah pastinya para pengundi di Saratok mahukan yang terbaik dalam kalangan trio ini untuk mewakili mereka demi untuk memastikan daerah ini memasuki era yang rancak dengan pembangunan bermanfaat kepada rakyat dan keluar daripada kesepian. – Bernama