LUBOK ANTU: Tindak balas pantas sekeluarga dari Kampung Nyemungan Simpang dekat sini telah berjaya mengurangkan risiko serangan tebuan tanah terhadap diri mereka dan jiran di situ, malam tadi.
Risiko itu berjaya dikurangkan apabila keluarga terbabit bertindak segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu untuk memohon pertolongan memusnahkan sarang serangga berbisa berkenaan.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Lubok Antu, Leftenan (PA) Desem Samuel berkata, pihaknya menerima panggilan daripada keluarga pengadu berhubung kes itu pada jam 7.12 malam.
“Kehadiran tebuan tanah itu disedari setelah keluarga pengadu tersebut secara tidak sengaja terlihat sarang serangga berbisa di dalam semak berhampiran dengan kediaman mereka.
“Bimbang terhadap keselamatan diri dan jiran, mereka segera menghubungi kami dengan tiga anggota pasukan MyASPA-O Bravo APM Lubok Antu dihantar ke lokasi bagi menyelesai kes itu,” katanya.
Setibanya di lokasi, kata Desem anggotanya mendapati tebuan tanah sudah membina sarang sebesar tayar kenderaan Perodua Kancil dan segera dimusnahkan menerusi teknik pembakaran.
“Semua anggota kami bertindak melakukan pemeriksaan rambang di sekeliling kediaman keluarga pengadu berkenaan untuk mengesan kehadiran sarang tebuan tanah yang lain sebelum berpuas hati terhadap tahap keselamatan mereka,” katanya.
Desem menasihatkan orang ramai agar segera menghubungi APM Lubok Antu di talian 083-584639 atau talian kecemasan 999 jika berdepan situasi kecemasan di kawasan masing-masing bagi tujuan tindakan lanjut.
Oleh VALENTINE NGUMBANG