SARATOK, 7 Oktober: Sarang tebuan tanah sebesar bola takraw yang dikesan berhampiran gelanggang bola jaring Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bahasa Malaysia berjaya dimusnahkan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Saratok, semalam.
Pegawai APM Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu, berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam pada 10.22 pagi, memaklumkan kewujudan sarang tebuan berkenaan di dahan pokok berhampiran kawasan sekolah.
Menurutnya, susulan laporan itu, seramai tiga anggota Skuad Alpha digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemusnahan sarang berkenaan.
“Setibanya di lokasi pada 7.28 malam, ketua skuad terlebih dahulu memastikan keadaan sekitar selamat sebelum operasi dimulakan.

“Anggota turut dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) termasuk baju lebah, helmet keselamatan, sarung tangan serta lampu suluh bagi memastikan operasi dapat dijalankan dengan selamat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sarang tebuan yang dianggarkan sebesar bola takraw itu berjaya dimusnahkan menggunakan teknik pembakaran.
Operasi berkenaan selesai pada 7.44 malam, dengan jarak perjalanan sehala kira-kira 3 kilometer dari pangkalan APM Daerah Saratok ke lokasi kejadian.
Tambahnya, operasi yang melibatkan anggota Prebet Holleyness Alek, Prebet Izzuddin Hakim Ahmad Sufian dan Prebet Asfa Faziana Abdullah itu berjalan lancar tanpa sebarang kemalangan atau kejadian tidak diingini.
APM turut menasihati orang awam supaya sentiasa berwaspada sekiranya menemui sarang tebuan dan tidak cuba memusnahkannya sendiri, sebaliknya mendapatkan bantuan pihak berkuasa atau agensi berkaitan.
Oleh Adi Safarman



