Sarang tebuan sebesar bola sepak dimusnahkan APM di SK Saint Augustine

Facebook
WhatsApp
APM Betong berjaya menghapuskan sarang tebuan tanah di SK Saint Augustine bagi memastikan kawasan sekolah selamat digunakan. Foto: APM Betong

BETONG: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong berjaya memusnahkan sebuah sarang tebuan tanah di kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Saint Augustine, hari ini, selepas menerima aduan mengenai ancaman keselamatan yang boleh menjejaskan pelajar, guru dan warga sekolah.

Menurut kenyataan media APM Daerah Betong, operasi berkenaan dilaksanakan sejurus menerima laporan daripada pihak sekolah mengenai kewujudan sarang tebuan tanah di lokasi berhampiran laluan utama menuju ke asrama yang sering digunakan oleh pelajar dan kakitangan sekolah.

Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) APM Betong menerima panggilan kecemasan pada 10.51 pagi daripada seorang guru yang memaklumkan penemuan sarang serangga berbisa itu di kawasan berkenaan.

ANGGOTA APM Betong telah melaksanakan satu operasi pemusnahan sarang tebuan tanah di kawasan SK Saint Augustine, pagi tadi. Foto: APM Betong

Susulan laporan tersebut, empat anggota APM Betong bersama sebuah kenderaan penyelamat ringan (LRV) digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemusnahan dengan segera.

Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati terdapat sebuah sarang tebuan tanah bersaiz sekitar sebesar bola sepak yang terletak pada ketinggian sekitar lima kaki dari aras tanah.

Anggota bertugas kemudian melaksanakan teknik pembakaran sebagai kaedah pemusnahan yang bersesuaian, sekali gus berjaya menghapuskan sarang tebuan itu dengan selamat dan berkesan tanpa sebarang insiden tidak diingini.

Operasi berkenaan selesai sepenuhnya pada 11.29 pagi, dengan pemantauan lanjut mengesahkan kawasan tersebut kembali selamat untuk digunakan oleh pelajar, guru dan orang awam.

Menurut kenyataan itu, tindakan pantas APM berjaya mengurangkan risiko kejadian sengatan tebuan yang boleh mengakibatkan kecederaan serius, khususnya kepada kanak-kanak dan individu yang mempunyai alahan terhadap sengatan serangga berbisa.

APM Betong turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menghampiri atau cuba memusnahkan sendiri sarang tebuan atau serangga berbisa kerana tindakan sedemikian boleh mengundang risiko kepada keselamatan diri.

Sehubungan itu, orang ramai disaran segera melaporkan sebarang penemuan sarang serangga berbisa kepada pihak berkuasa agar tindakan yang selamat, cepat dan berkesan dapat diambil demi melindungi keselamatan masyarakat.

Oleh Adi Safarman