SEMATAN: Kebimbangan penduduk terhadap kewujudan sarang tebuan naning di atas pokok berhampiran sebuah surau kampung berakhir selepas ia dimusnahkan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sematan.
APM Lundu Sematan dalam kenyataan memaklumkan, Pusat Kawalan Operasi Daerah (PKOD) Sematan menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian itu baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu, pengadu menyedari terdapat sarang tebuan naning di atas pokok berhampiran surau dan bimbang ia boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk yang melalui kawasan berkenaan.
Susulan itu, bantuan APM Sematan diminta bagi menjalankan operasi memusnahkan sarang serangga tersebut bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Anggota APM kemudian menjalankan tindakan memusnahkan sarang tebuan berkenaan sebagai langkah keselamatan kepada penduduk setempat.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya menemui sarang serangga berbisa yang boleh mengancam keselamatan, sebaliknya mendapatkan bantuan pihak berkaitan.





