
KOTA KINABALU: Kerajaan memperluas pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi penambahan kedai yang menerima transaksi menggunakan MyKad, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman bagi memudahkan penerima mendapatkan barangan keperluan.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata sehingga kini lebih 13,500 kedai telah berdaftar di bawah program itu di seluruh negara, termasuk lebih 6,500 kedai kecil.
“Usaha kita untuk menambah kedai kecil ini kepada tahap 10,000 di seluruh negara. Di Sabah ini, kita telah nampak peningkatan kedai yang didaftar di bawah SARA, sehingga kini sudah sampai 1,493 kedai yang boleh menebus SARA.
“Bukan sahaja di bandar-bandar besar, tapi terus masuk kepada kampung, kawasan pedalaman kerana usaha kita adalah untuk menyenangkan rakyat yang ada kelayakan untuk mendapat SARA,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan program berkenaan di Manggatal Baru di sini hari ini.
Beliau berkata penggunaan MyKad sebagai medium penyaluran bantuan membolehkan penerima yang layak menebus barangan keperluan secara terus di kedai mengambil bahagian.
Menurut beliau, selain membantu golongan memerlukan, program itu turut memberi manfaat kepada usahawan tempatan apabila produk mereka dipasarkan melalui rangkaian kedai SARA.
“Kalau barangan itu kita buat SARA, lebih banyak dan lebih laris jualannya. Itulah apa usaha kita buat, bukan sahaja untuk memberi bantuan, tapi juga menolong merancakkan usahawan-usahawan tempatan,” katanya.
Amir Hamzah berkata lebih 150,000 jenis produk kini boleh dibeli menerusi program SARA di seluruh negara dan kerajaan akan terus menambah bilangan produk serta penyertaan usahawan tempatan.
Mengenai usaha memperluas penyertaan kedai kecil, beliau berkata kerajaan sedang meneliti kaedah bagi mengurangkan kos penyertaan termasuk menyediakan sistem tempat jualan (POS) yang lebih mudah dan mampu milik.

“Kita juga nak permudahkan kedai-kedai kecil sebab kadang-kadang kalau kita tengok macam dekat kedai ini, kedainya sudah ada saiz jadi dia ada sistem pembayarannya sendiri.
“Tapi bila kita pergi kedai kecil kadang-kadang itu tak ada. Jadi dalam usaha kita, kita akan juga mencari jalan di mana kita menyediakan juga POS sistem untuk kedai kecil untuk menyenangkan mereka masuk,” katanya.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata kerajaan sentiasa menilai kemungkinan untuk memperbanyakkan pilihan barangan yang boleh dibeli menerusi SARA.
Beliau berkata kerajaan sebelum ini telah menambah beberapa kategori produk termasuk barangan sejuk beku seperti daging dan ayam, namun barangan basah belum dimasukkan buat masa ini bagi memastikan aspek kawalan dan jaminan kualiti dapat dipelihara.
“Barangan basah belum lagi dimasukkan kerana antara satu kriteria yang kita kena memastikan ialah kualiti barangan yang dibeli,” katanya.
Mengenai kemungkinan peningkatan kadar bantuan pada masa hadapan, beliau berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada pendekatan bantuan bersasar serta usaha meningkatkan hasil negara, pada masa sama mengurangkan ketirisan.
“Lagi banyak kita kurangkan ketirisan, lebih banyak ruang kita ada, kita boleh melihat cara untuk menambah bila kita ada hasil,” katanya. – Bernama