

SRI AMAN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi menjejak seorang warga emas yang dilaporkan hilang sejak 30 September lalu di Rumah Rengkang Lepong Empeliau Ulu, masih belum menemui sebarang petunjuk baharu setakat hari kelima pencarian, hari ini.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Tumbu Landa, 67 tahun, yang juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), dilaporkan hilang selepas tidak pulang ke rumah pada petang kejadian.
“Pasukan SAR hari ini memulakan operasi pada jam 8.27 pagi dengan kekuatan sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman diketuai Pegawai Bomba Kanan l Chimiam Duyu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pencarian dimulakan di kawasan hutan berhadapan rumah panjang dengan bantuan unit dron Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan anjing pengesan (K9) dari JBPM dan PDRM, menggunakan kaedah ‘sweep search’ dalam radius tiga kilometer.
Bagaimanapun, selepas pencarian menyeluruh di kawasan hutan, anak bukit serta kawasan paya di belakang rumah panjang, tiada penemuan baharu dilaporkan.
Operasi turut disertai oleh pelbagai agensi termasuk PDRM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Unit K9 JBPM dan PDRM, serta lebih 25 penduduk kampung yang turut membantu usaha pencarian.
Operasi pada hari ini ditangguhkan pada 5.00 petang dan akan disambung semula pada keesokan hari.
Mangsa dilaporkan hilang sejak 30 September lalu selepas kali terakhir dilihat di kebunnya berdekatan rumah panjang tersebut. Usaha mencari oleh ahli keluarga dan penduduk kampung pada awalnya juga gagal menemui jejak mangsa.
Oleh Adi Safarman