SKRANG: Seorang wanita warga emas telah dilaporkan hilang ketika hendak pergi ke kebun dalam kejadian di Rumah Jack, Pais, Skrang sejak semalam.
Penguasa Bomba Zon 3 Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong telah menerima panggilan daripada pihak Balai Polis Skrang berhubung kejadian berkenaan sekitar 7.21 petang, semalam.
“Mangsa yang dikenali Jijah Sanggah berusia 66 tahun dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak semalam ketika hendak pergi ke kebun.
“Mangsa dikatakan tidak balik ke rumah sehingga laporan dibuat oleh ahli keluarga mangsa di Balai Polis Skrang,” katanya.
Pada hari pertama operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ini, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan 1 (PBK 1) Jusmandie Jamaie telah membuat pembahagian kepada tiga pasukan.
Tumpuan pencarian, katanya, berfokuskan di lokasi terakhir mangsa berada kerana terdapat bekas bekal dan parang.
“Pencarian dilakukan dalam anggaran radius 3 kilometer (km) di kawasan darat dan juga Sungai Skrang dengan menggunakan bot orang kampung.
“Namun, sehingga kini mangsa masih belum dijumpai dan operasi ditangguhkan pada 5.00 petang dan akan bersambung esok,” katanya.
SAR hari ini melibatkan seramai lapan anggota bomba, empat anggota polis, lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), 11 anggota Unit Keselamatan Penguatkuasan Sarawak (UKPS) dan 30 penduduk kampung.