
LINGGA: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaikinya karam di Sungai Banting, di sini, memasuki hari kedua hari ini dengan usaha pencarian terus dipergiatkan oleh pasukan penyelamat pelbagai agensi.
Mangsa yang masih belum ditemui dikenali sebagai Gerald Lansam, 42, yang dilaporkan hilang selepas insiden perahu karam pada petang semalam. Ketika kejadian, mangsa dikatakan memakai baju berwarna maroon dan berseluar pendek.
Menurut kenyataan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, kejadian berlaku kira-kira 1.15 petang semalam apabila perahu yang membawa sembilan penumpang mengalami kerosakan enjin sebelum dihanyutkan arus deras.

Perahu tersebut kemudiannya dilaporkan melintang pada tiang jambatan sebelum terbalik, menyebabkan semua penumpang terjatuh ke dalam sungai.
Dalam kejadian itu, lapan penumpang lain yang terdiri daripada tiga lelaki dewasa, dua wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang bergegas ke lokasi menggunakan perahu.
Bagaimanapun, Gerald dilaporkan sempat berpaut pada tiang jambatan bagi menyelamatkan diri sebelum tenggelam dan dihanyutkan arus deras.
Penduduk kampung yang cuba menghampiri mangsa untuk memberikan bantuan gagal berbuat demikian apabila mangsa hilang dari pandangan.
Operasi SAR hari kedua bermula seawal 7.00 pagi dengan diketuai Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Mohd Fadhli Buyong daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman.
Sebuah Pos Kawalan Bomba (PKB) turut didirikan di lokasi kejadian bagi menyelaras gerakan operasi dan komunikasi antara semua agensi yang terlibat.
Hasil taklimat bersama Ketua Balai Polis Lingga, Sarjan Asmadi, pasukan penyelamat bersetuju memperluaskan kawasan pencarian sehingga tiga kilometer ke arah hilir sungai berbanding radius asal satu kilometer dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
Operasi bersepadu itu melibatkan tujuh anggota JBPM, enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Sebanyak tiga bot penyelamat milik agensi digunakan sepanjang operasi, selain mendapat bantuan daripada kira-kira 20 penduduk kampung yang menggerakkan enam bot persendirian bagi membantu pencarian.
Lokasi kejadian terletak di Rumah Charang, Sungai Banting, kira-kira 40 kilometer dari BBP Sri Aman.
Sehingga pagi ini, mangsa masih belum ditemui dan operasi SAR diteruskan dengan tumpuan diberikan di sepanjang laluan sungai yang berpotensi menjadi lokasi mangsa dihanyutkan arus.
Menurut JBPM, keadaan arus sungai yang deras serta faktor geografi kawasan menjadi antara cabaran utama yang dihadapi pasukan penyelamat dalam usaha mengesan mangsa.
Oleh Adi Safarman