KUCHING: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) seorang nelayan yang hilang selepas bot mereka karam di perairan Pulau Burong terpaksa ditangguhkan keesokan hari akibat cuaca yang tidak mengizinkan.
Menurut Pusat Gerakan Operasi Sarawak, pihaknya tidak dapat meneruskan operasi tersebut pada sebelah petang kerana angin kencang dan ombak tinggi yang berbahaya kepada bot-bot penyelamat.
Katanya, anggota hanya bersedia di Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
“Operasi pencarian ditangguh pada 6.00 petang tadi dan akan disambung pada keesokan hari,” katanya.
Dalam pada itu, seorang mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Chaloem Sonada, warga Thailand berusia 60-an.
Sementara itu, lima daripada enam nelayan warga asing itu telah berjaya ditemukan selamat selepas terapung beberapa hari di laut.
Terdahulu, bot nelayan tempatan dengan enam kru warga asing itu bergerak dari jeti Tanjong Bako, di sini, pada 17 Disember lalu.
Pada 20 Disember, bot nelayan itu terputus hubungan dan dikhuatiri karam.
Pemilik bot iaitu warga tempatan membuat laporan mengenai insiden bot karam di Balai Polis Santubong, Isnin lalu.
Tiga kru iaitu Khlok Sem, Adikah dan Irman berjaya diselamatkan oleh bot nelayan tempatan yang lain di kedudukan 3.5 batu nautika di barat Pulau Burong pada pagi Isnin.
Pada hari sama, seorang lagi kru iaitu Thy Ny diselamatkan oleh sebuah kapal di Tanjung Po, Muara Tebas, namun kapal berkenaan yang dalam perjalanan ke Sibu terus membawa mangsa ke pelabuhan di Sibu.
Selepas dirujuk kepada APMM, mangsa kemudian diserahkan kepada PPM Sibu seterusnya ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu untuk dibawa ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan sebelum dihantar ke Kuching untuk tindakan lanjut pada Selasa lalu.
Sementara itu, mangsa kelima iaitu Oeun Van dijumpai selamat di kawasan Sungai Serpan Laut, Asajaya oleh nelayan tempatan di kawasan perairan Asajaya, 3.30 pagi, Selasa lalu.