
KABONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lagi mangsa bot karam yang dilaporkan hilang di perairan Laut Kabong sejak 4 September lalu memasuki hari keenam hari ini, namun masih belum menemui mangsa kedua.
Mangsa dikenali sebagai Aiman Tuah, 24 tahun, dipercayai hilang bersama bapanya, Tuah Bujang, 57 tahun, selepas keluar menangkap ikan pada 3 September lalu. Difahamkan, kedua-duanya keluar ke laut sekitar 2.00 petang, namun gagal dihubungi selepas ribut dan hujan lebat berlaku pada 5.00 petang.
Pada 6 September, pasukan SAR berjaya menemukan mayat Tuah Bujang yang kemudian disahkan identitinya oleh ahli keluarga. Namun, pencarian Aiman masih diteruskan hingga kini.


SAR memasuki hari keenam hari ini, namun masih belum menemui mangsa kedua iaitu Aiman. Foto: PGO Bomba Sarawak
Hari ini, operasi SAR yang bermula 9.10 pagi melibatkan pencarian meliputi radius 51.44 batu nautika, dibahagikan kepada empat sektor. Tumpuan turut diberikan di kawasan tebing pantai sepanjang Alit hingga Kabong.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata, operasi hari ini turut berdepan cabaran teknikal apabila sebuah bot pasukan mengalami kerosakan enjin pada jam 4.00 petang sebelum operasi disambung semula.


SAR memasuki hari keenam hari ini, namun masih belum menemui mangsa kedua iaitu Aiman. Foto: PGO Bomba Sarawak
“Operasi SAR hari keenam berakhir sekitar 5.00 petang dan akan diteruskan semula esok bermula 8.00 pagi dengan pencarian melibatkan kawasan laut dan darat,” katanya.
Operasi SAR ini disertai lebih 100 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, serta penduduk kampung yang menggunakan 12 perahu persendirian.
Setakat ini, usaha mencari masih diteruskan dan pihak berkuasa menggesa penduduk sekitar Kabong serta nelayan tempatan untuk menyalurkan sebarang maklumat sekiranya terlihat tanda-tanda keberadaan mangsa.
Oleh Adi Safarman