KUCHING, 9 Oktober: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari pertama gagal menemukan seorang lelaki berusia 53 tahun yang dilaporkan hilang ketika keluar berburu di kawasan hutan berhampiran Kampung Emperoh Jambu, Jalan Padawan, di sini, dua hari lepas.
Mangsa, Christie Fidelis Batest, dilaporkan keluar dari rumahnya pada 7.30 malam, 7 Oktober lalu, untuk berburu seorang diri dengan membawa senapang patah ke kawasan hutan di belakang rumah sepupunya, kira-kira tiga kilometer dari kediamannya.
Komander Operasi, PPgB Mohammad Imran Sabri, berkata motosikal jenis Modenas berwarna biru milik mangsa ditemukan di kawasan berkenaan, namun lelaki itu masih belum ditemui.
Adik mangsa, Marthia Batest, menyedari abangnya belum pulang sehingga 5.00 petang, Khamis lalu sebelum berusaha mencarinya di kawasan sekitar dan bertanya kepada jiran, tetapi gagal menemui sebarang petunjuk.
Marthia kemudian memaklumkan kehilangan abangnya kepada ketua kampung, Bonnie atau Boniface Lasek, untuk mendapatkan bantuan. Laporan polis berhubung kehilangan itu dibuat di Balai Polis Siburan pada 9.31 malam hari sama.
Pihak Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 8.50 pagi, hari ini, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan tiba di lokasi pada 9.38 pagi.
Menurut Mohammad Imran, pencarian dimulakan dengan pembahagian tiga pasukan untuk melakukan operasi dalam radius satu kilometer, dengan tumpuan di bahu kiri dan kanan jalan utama berdasarkan maklumat yang diterima.
Pencarian diteruskan pada sebelah petang selepas sukarelawan melaporkan terhidu bau di kawasan berkenaan. Pasukan SAR memeriksa lokasi itu sebelum meluaskan pencarian ke kawasan bukit dan lereng bukit berhampiran, namun tidak menemukan sebarang petunjuk keberadaan mangsa.
Operasi melibatkan lapan anggota bomba dengan bantuan anggota Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok, polis dan penduduk kampung.
Operasi ditangguhkan pada 4.45 petang berikutan perubahan cuaca dan akan disambung semula esok dengan bantuan unit anjing pengesan K9 yang telah dipohon JBPM bagi membantu mengesan mangsa.
Mangsa mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan jantung, manakala maklumat mengenai pakaian terakhir yang dipakainya tidak diperoleh.
Oleh Afiq Sallehi





