


ENGKILILI: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan Rumah Baie Merio Tambak, Engkilili, memasuki hari ketiga hari ini dengan tumpuan pencarian diteruskan oleh pasukan penyelamat pelbagai agensi.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi SAR yang bermula pada 9.30 pagi tadi ditangguhkan sementara bagi memberi ruang kepada komuniti rumah panjang menjalankan upacara tradisional dikenali sebagai ‘Miring’.
Penangguhan itu dibuat bagi menghormati permintaan penduduk setempat yang ingin melaksanakan upacara adat berkenaan sebagai usaha kerohanian memohon petunjuk serta perlindungan dalam proses pencarian mangsa, Chin Shin Fah, 60 tahun.
Kenyataan itu memaklumkan, upacara ‘Miring’ dimulakan sekitar 9.45 pagi selepas perbincangan dilakukan antara Komander Operasi, Chimiam Duyu bersama Tuai Rumah Baie bagi memastikan kelancaran operasi tanpa mengabaikan sensitiviti budaya masyarakat Iban.
Sejurus selesai upacara tersebut, operasi SAR disambung semula pada 10.42 pagi dengan beberapa strategi pencarian baharu termasuk pengerahan Unit K9 JBPM menggunakan seekor anjing pengesan yang digerakkan ke arah hilir melalui jalan kebun menuju kawasan Kampung Stengin.
Selain itu, kaedah ‘Sweep Search’ turut digunakan di mana pasukan kedua menjalankan pencarian menyusuri tebing sungai ke arah hulu, manakala radius pencarian diperluaskan sehingga enam kilometer meliputi kawasan tanah perkuburan dan Jalan Merindun.
Operasi hari ini melibatkan 53 anggota daripada pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM) Lubok Antu serta kira-kira 30 penduduk kampung yang membantu.
Mangsa dilaporkan hilang sejak 4 Januari lalu selepas kali terakhir dilihat keluar dari ruai rumah panjang pada 11.30 malam ketika menghadiri satu upacara sembahyang dan dilihat memakai baju lengan panjang berwarna keperakan serta seluar pendek hitam.
Sehingga 5.00 petang tadi, pasukan penyelamat memaklumkan masih belum menemui sebarang petunjuk baharu berkaitan lokasi mangsa, menyebabkan operasi SAR ditangguh dan dijadualkan bersambung semula pada 9.00 pagi esok.
Pihak JBPM menegaskan operasi akan diteruskan sehingga mangsa ditemui dan orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis atau pusat gerakan operasi berhampiran bagi membantu usaha pencarian.
Oleh Adi Safarman