
SARATOK: Sudah masuk hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, namun kru kapal warga Myanmar yang terjatuh di Sungai Krian sejak Jumaat lalu masih belum ditemui.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, SAR hari ketiga yang dijalankan pada hari ini dengan radius pencarian diperluaskan sehingga 2 kilometer ke hulu dan hilir dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) di Dermaga Batu, dekat Pekan Saratok.
Pasukan SAR yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Nasir Drahman bersama lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok berlepas ke lokasi kejadian pada 7.30 pagi sebelum tiba lima minit kemudian.
Taklimat operasi diadakan bersama agensi terlibat termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Lembaga Sungai Sarawak (LSS).
“Pencarian dibahagikan kepada beberapa sektor di mana lima anggota bomba menggunakan bot penyelamat melakukan pencarian 2 kilometer ke hilir Sungai Krian.
“Tiga anggota APM pula melakukan pencarian 2 kilometer ke hulu Sungai Krian dan empat anggota PDRM melakukan pencarian di hilir Sungai Krian serta kawasan sekitar Dermaga Batu Saratok,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selepas rehat tengah hari, operasi disambung semula pada 2.05 petang dengan tumpuan pencarian di radius 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh, kemudian diperluaskan sehingga 1 kilometer ke hulu dan hilir.
Bagaimanapun, sehingga operasi ditangguhkan pada 5.00 petang, mangsa masih belum ditemui dan pencarian akan diteruskan esok.
Mangsa warganegara Myanmar yang dikenali sebagai Thu Htoo Aung, 20, adalah merupakan kru kapal Moi Soon 2 dilaporkan terjatuh ke dalam sungai sekitar 9.30 pagi Jumaat lalu.
Kejadian berlaku semasa mangsa sedang melakukan kerja penyelenggaraan di atas kapal. Menurut rakan sekerja, mangsa tidak timbul ke permukaan sejurus jatuh dan gagal dikesan meskipun usaha awal dilakukan oleh kru kapal lain.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa hanya memakai seluar panjang berwarna coklat dan kasut getah pendek, tanpa berbaju, menjadikan pencarian lebih mencabar kerana tiada objek terapung yang dapat dikesan.
Oleh Adi Safarman