
KABONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan seorang lagi nelayan yang dilaporkan hilang di perairan Kabong memasuki hari kelima hari ini, namun mangsa kedua masih belum ditemui.
Mangsa dikenali sebagai Muhammad Aiman Tuah, 24 tahun, dilaporkan hilang selepas keluar ke laut bersama bapanya, Tuah Bujang, 57 tahun, pada 3 September lalu. Bapanya ditemui pada hari ketiga operasi, manakala usaha mengesan anaknya masih diteruskan.
Ketua Zon 3 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Muhammad Rais Adham Rosalan berkata pencarian hari ini melibatkan kawasan seluas 39.36 batu nautika yang dibahagikan kepada empat sektor.
Operasi turut melibatkan pelbagai agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pasukan Gerakan Udara (PGU), RELA dan Pasukan Bomba Sukarela Kabong.


SAR hari kelima terus giat dilakukan oleh pelbagai agensi penyelamat bagi mengesan seorang lagi mangsa bot karam di perairan Kabong, hari ini. Foto: PGO Bomba Sarawak
“Cuaca hujan lebat sedikit menyukarkan operasi, namun pencarian tetap diteruskan pada waktu pagi dan disambung semula selepas rehat tengah hari dengan fokus di kawasan tebing pantai,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Rais berkata sehingga 5.00 petang tadi, pencarian masih belum menemui sebarang petunjuk baharu.


SAR hari kelima terus giat dilakukan oleh pelbagai agensi penyelamat bagi mengesan seorang lagi mangsa bot karam di perairan Kabong, hari ini. Foto: PGO Bomba Sarawak
“Operasi SAR ditangguhkan pada 5.00 petang dan akan disambung semula esok bermula 8.00 pagi esok, meliputi pencarian di laut serta sepanjang kawasan Pantai Alit, Kabong,” ujarnya.
Seramai 66 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat terlibat dalam operasi hari ini dengan bantuan empat bot dan beberapa kenderaan darat.
Oleh Adi Safarman