
BETONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan wanita warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan hutan Nanga Buai, Ulu Padeh memasuki hari keenam hari ini, namun mangsa masih belum ditemui.
Mangsa dikenali sebagai Rumai Jantin, 75 tahun, dilaporkan hilang sejak 24 September lalu ketika berada di kawasan berhampiran rumah panjang.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, usaha pencarian hari keenam tertumpu di sekitar anak Sungai Tebelian dan kawasan rumah panjang dalam radius 3.5 kilometer (km).
Pasukan SAR turut menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM Sarawak melibatkan seekor anjing pengesan, Bella, bersama dua pengendali.

Pencarian pada sebelah petang memberi tumpuan di tebing sungai serta kawasan belakang rumah panjang bermula 2.00 petang hingga 4.30 petang, namun masih belum menemui sebarang petunjuk.
Operasi hari ini ditangguhkan pada 5.30 petang dan akan diteruskan esok.
Misi SAR membabitkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong seramai lima anggota, dibantu agensi lain iaitu anggota polis (tujuh anggota), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) seramai 10 anggota, dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) serta lebih 30 penduduk kampung.
PGO memaklumkan usaha pencarian akan terus dipergiat dengan kerjasama semua pihak, manakala keluarga mangsa masih menaruh harapan agar warga emas tersebut dapat ditemui dalam keadaan selamat.
Oleh Adi Safarman