

SKRANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang di kawasan Lubok Skrang memasuki hari keenam hari ini, namun masih belum menemukan sebarang petunjuk baharu berhubung keberadaan mangsa.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa dikenali sebagai Igoh Sengaling, 84, dilaporkan hilang selepas keluar dari rumah panjangnya di Rumah Richard Tawan, Tebarong, Lubok Skrang, Engkilili untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Skim Skrang pada 18 Februari lalu.
Mangsa dikatakan keluar sekitar 7.00 pagi dengan menaiki perahu miliknya sendiri untuk mengambil ubat di klinik berkenaan.
Bagaimanapun, beliau tidak pulang ke rumah seperti kebiasaan, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga dan penduduk rumah panjang.
Usaha pencarian awal telah dijalankan oleh keluarga bersama penduduk setempat di sekitar kawasan rumah panjang dan hutan berdekatan, namun gagal menemukan sebarang jejak.
Laporan polis kemudiannya dibuat pada 19 Februari sekitar 7.51 malam sebelum operasi rasmi SAR digerakkan.
Operasi hari keenam hari ini melibatkan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang diketuai Massuria Emei, dengan bantuan sebuah van Urvan.
Pasukan tiba di lokasi seawal 9.00 pagi dan menjalankan pencarian serentak bersama enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), 11 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta tiga penduduk kampung.
Pasukan pencarian dibahagikan kepada dua kumpulan utama iaitu operasi darat dan menyusuri sungai.
Perahu mangsa ditemui di seberang sungai pada jarak kira-kira 1.5 kilometer dari Pusat Kawalan Bomba (PKB), menjadikan kawasan tersebut sebagai fokus utama pencarian.
Operasi di darat tertumpu dalam radius tiga kilometer dari lokasi penemuan perahu dengan menggunakan kaedah ‘tracking’ bagi mengenal pasti tapak kaki, ranting patah serta kesan jejak yang berkemungkinan ditinggalkan mangsa.
Sementara itu, pencarian di sungai turut diperluas hingga tujuh kilometer ke hulu Sungai Skrang.
Pada 5.00 petang, operasi SAR ditangguhkan atas arahan Ketua Balai Polis Skrang dan akan disambung semula esok.
Setakat ini, status mangsa masih belum dijumpai dan operasi akan diteruskan dengan pemantauan rapi serta kerjasama semua agensi terlibat.
Oleh Adi Safarman