SAR hari kedua: Lelaki hilang ketika berburu masih belum ditemukan

Facebook
WhatsApp
ANGGOTA bomba, polis, Apm dan penduduk kampung mengikuti sesi taklimat sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua bagi mengesan lelaki yang dilaporkan hilang ketika berburu di Kampung Emperoh Jambu, Jalan Padawan. Foto JBPM

KUCHING, 10 Oktober: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua masih belum menemukan seorang lelaki berusia 53 tahun yang dilaporkan hilang ketika keluar berburu di kawasan hutan berhampiran Kampung Emperoh Jambu, Jalan Padawan, di sini.

Mangsa, Christie Fidelis Batest, dilaporkan keluar dari rumahnya pada 7.30 malam, 7 Oktober lalu, untuk berburu seorang diri dengan membawa senapang patah ke kawasan hutan di belakang rumah sepupunya, kira-kira tiga kilometer dari kediamannya.

Motosikal jenis Modenas berwarna biru milik mangsa ditemukan di kawasan hutan berkenaan, namun mangsa masih belum ditemui.

Komander Operasi, PBK I Rafiq Hussain, mengetuai operasi SAR hari kedua yang disambung pada 10 Oktober, dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan bersama agensi penyelamat dan penduduk kampung terlibat dalam usaha mengesan mangsa.

Pencarian bermula pada 10.00 pagi dengan membahagikan pasukan kepada dua kumpulan untuk menyisir kawasan di sebelah kiri dan kanan jalan berhampiran lokasi motosikal mangsa ditemukan.

PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan teknik fan searching untuk menyisir kawasan hutan berhampiran Kampung Emperoh Jambu, Jalan Padawan, bagi mengesan lelaki yang dilaporkan hilang. Foto JBPM

Pasukan SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Simpok, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), RELA, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 11 serta penduduk kampung.

Selepas berhenti untuk makan tengah hari, operasi disambung semula pada 2.10 petang menggunakan teknik ‘fan searching’, iaitu kaedah pencarian secara kipas di kawasan mangsa dilaporkan hilang.

Menurut maklumat JBPM Sarawak, mangsa mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan jantung. Bagaimanapun, maklumat mengenai pakaian terakhir yang dipakainya tidak diperoleh.

Operasi SAR diteruskan bagi mengesan mangsa, manakala perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Oleh Afiq Sallehi