PANTU: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari kedua seorang remaja lelaki yang dikhuatiri lemas selepas dipercayai diserang buaya di Sungai Seterap, di sini, ditangguhkan petang tadi tanpa sebarang petunjuk baharu.
Mangsa yang dilaporkan hilang sejak semalam, masih belum ditemui sehingga operasi ditangguhkan pada 5.30 petang.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak dalam kenyataan media berkata, fokus pencarian hari ini ditingkatkan dengan merangkumi jarak sehingga lima kilometer ke hulu dan hilir sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
”Operasi yang disambung semula pada sebelah petang menggunakan kaedah pencarian di permukaan air.
”Namun, sehingga pasukan SAR kembali ke Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKOB) pada 5.00 petang, tiada sebarang penemuan atau jejak baharu ditemui,” kata kenyataan itu hari ini.

Menurut kenyataan itu lagi, Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan I Noor Faqriakmal kemudiannya mengadakan taklimat ringkas bersama agensi yang terlibat sebelum memutuskan operasi ditangguhkan dan akan disambung semula esok pagi.
Katanya, operasi pencarian yang memasuki hari kedua itu melibatkan kekuatan seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman dengan bantuan pelbagai agensi serta penduduk tempatan.
”Turut berada di lokasi bagi membantu pencarian ialah enam anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta kira-kira 30 penduduk kampung.
”Bagaimanapun, pasukan penyelamat berdepan cabaran kesukaran perhubungan berikutan tiada liputan Rangkaian Radio Integrasi Kerajaan (GIRN) di lokasi kejadian,” jelasnya.
Dalam kejadian semalam, mangsa bersama tujuh yang lain menaiki empat buah perahu untuk menjalankan aktiviti menjala ikan di sungai berkenaan.
Insiden malang itu dipercayai berlaku apabila jala yang digunakan tersangkut pada kayu di dalam sungai, menyebabkannya menyelam untuk melepaskannya sebelum tidak timbul semula.
Ibu mangsa, Puteh Bujang, serta pakcik mangsa mengesyaki remaja berkenaan diserang reptilia ganas itu selepas kelihatan seekor buaya timbul di permukaan air tidak jauh dari lokasi kejadian.
Oleh Adi Safarman




