
MUKAH: Timbalan Menteri Ekonomi yang juga Ahli Parlimen P.213 Mukah, Datuk Hanifah Hajar Taib, hadir memeriahkan Program Santuni MADANI dan sesi dialog bersama penduduk Kampung Penat yang berlangsung di Dewan Serbaguna Kampung Penat, hari ini.
Program ini bertujuan memperkukuh hubungan antara pemimpin dan masyarakat setempat selain memastikan pembangunan seimbang antara kawasan bandar dan luar bandar.
Dalam sesi dialog tersebut, Hanifah menekankan kepentingan untuk mengenal pasti isu-isu sosial dan ekonomi yang dihadapi oleh penduduk kampung, di samping memastikan penyaluran bantuan yang berterusan demi kesejahteraan rakyat.
“Selain peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan, kerajaan Sarawak juga menyediakan dana khusus bagi membantu pelaksanaan pelbagai projek dan aktiviti di kawasan ini, selaras dengan usaha membangunkan luar bandar secara menyeluruh,” ujarnya.
Program ini turut membuka ruang kepada penduduk kampung untuk menyuarakan pandangan serta permasalahan secara langsung kepada beliau.
Hanifah turut menasihatkan agar sebarang maklum balas terhadap sebarang perkara berbangkit disalurkan ke Pejabat Daerah atau Pejabat Residen untuk tindakan lanjut.
Dalam ucapannya, beliau turut menggesa masyarakat agar bersama-sama memelihara kelestarian alam semula jadi, seiring dengan pembangunan fizikal yang sedang giat dilaksanakan.
“Nilai-nilai kemanusiaan juga harus terus dipupuk dalam masyarakat, khususnya dalam memastikan hak untuk belajar dan mendapatkan pendidikan tidak diketepikan,” tambah beliau.
Program Santuni MADANI mencerminkan komitmen berterusan Hanifah melalui Pejabat Pusat Khidmat P.213 Mukah dalam mendekati rakyat serta mendengar dan menyelesaikan isu-isu yang mereka hadapi.
Turut diadakan dalam program tersebut adalah ceramah daripada agensi keselamatan seperti Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Mukah.
-JAPEN