KUCHING: Pemimpin masyarakat dan pengundi di kawasan Parlimen Santubong menyokong penuh calon yang dicadangkan oleh penyandang kerusi itu, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai pengantinya untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kali ini.
Ini berikutan, selepas hampir dua minggu Parlimen dibubarkan, akhirnya Wan Junaidi ‘membuka mulut’ yang beliau tidak mahu dicalonkan semula kerana hendak memberi peluang kepada muka baharu di Parlimen Santubong untuk bertanding.
Memetik laporan media semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu mencadangkan Dato Sri Syed Hamzah Syed Paie sebagai penggantinya di kerusi Parlimen Santubong.
Penghulu Zon Telaga Air, Morshidi Johari berkata soal calon yang bakal diketengahkan nanti adalah terserah kepada pucuk pimpinan di peringkat atasan.
Secara jujur katanya, beliau menyokong calon yang dicadangkan Wan Junaidi iaitu Syed Hamzah sebagai pengganti.
“Sebenarnya kalau ikutkan hati memang berat untuk melepaskan Dato Sri Wan Junaidi, tetapi kita harus terima keputusannya untuk mengundur diri bagi memberi laluan kepada pemimpin baharu di kawasan,” katanya.
Seorang lagi pemimpin masyarakat, Kaunselor Sebeli Chik yakin calon yang bakal membawa suara rakyat dari kawasan Parlimen Santubong nanti adalah seorang yang mampu memikul tanggungjawab dan memiliki karisme tersendiri.
“Saya bersama-sama pengundi di kawasan Kampung Tabuan Melayu sentiasa memberi sokongan penuh kepada sesiapa sahaja calon yang disyorkan oleh pihak atasan malah cadangan daripada Dato Seri Wan Junaidi sendiri.
“Insya-Allah, saya yakin calon yang bakal membawa bendera dan logo Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah yang terbaik untuk rakyat di Parlimen Santubong kelak,” katanya.
Sementara itu, Naib Ketua PBB Demak Laut, Rahmat Sabang berkata, beliau menyokong cadangan Wan Junaidi untuk mengesyorkan nama Syed Hamzah sebagai calon muda diketengahkan pada PRU-15 ini.
“Pada, saya beliau (Syed Hamzah) sememangnya layak dicalonkan di Parlimen Santubong memandangkan sudah dikenali ramai pengundi kawasan.
‘Sepanjang 18 tahun di bawah Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Wan Junaidi, Syed Hamzah banyak mengetahui selok-belok di dalam kawasan.
“Justeru, saya yakin beliau adalah calon terbaik seorang pemimpin muda yang mampu memikul tanggungjawab membawa suara rakyat di kawasan Parlimen Santubong di Dewan Rakyat kelak,’ katanya.