KUCHING: Tapak Projek di Santubong Archaeological Park, Sungai Jaong, Bongkissam atau Bukit Maras dan Wallace Centre di sini diharapkan siap seiring dengan Kampus Muzium Sarawak iaitu pada suku pertama tahun hadapan.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Kerajaan Sarawak, kementeriannya, pihak muzium, wakil rakyat di sini dan orang kampung akan membangunkan pekan Santubong menjadi satu pekan arkeologi ataupun pekan yang bersejarah sejajar dengan siapnya tapak tersebut.
“Sejurus kemudahan itu sudah dibangunkan, saya percaya ini akan menjadi salah satu tempat yang mesti dikunjungi,” katanya kepada pemberita semasa melawat ke tapak projek di Santubong Archaeological Park, Sungai Jaong, Bongkissam atau Bukit Maras dan Wallace Centre, di sini, semalam.
“Apabila melawat Muzium Sarawak di Kuching dan kalau pelancong datang, mereka akan berkunjung ke Santubong untuk melihat khazanah seperti ini kerana mengandungi cerita dan sejarah tersendiri yang cukup menarik.
“Selain itu, saya percaya ia akan dapat memberi kebaikan imbuhan kepada penduduk kampung dari segi industri makanan dan industri penginapan kerana tempat ini di tepi laut dan juga industri yang berkaitan dengan pelancongan kraf,” katanya.
Abdul Karim yang juga Menteri Belia dan Sukan berkata, kos keseluruhan termasuk kos pengambilan tanah lebih kurang RM30 juta dan projek itu dijangka siap pada Februari tahun hadapan.
“Pada masa ini, ia masih lagi dalam pembinaan dan sedikit lambat ekoran daripada Perintah Kawlaan Pergerakan (PKP).
“Saya berharap ia dapat siap mengikut jadual kerana Kampus Muzium Sarawak akan siap pada April tahun hadapan. Sekiranya tempat ini dapat siap dalam jangka masa yang sama, pelancong boleh berkunjung ke banyak tempat di Kuching,” katanya.
Jika dapat siap serentak, katanya, lagi elok tetapi kadang-kadang susah dalam mengaturkan pembinaan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dilanjutkan sampai Disember dan berharap tiada kluster baharu Covid-19 wujud di Sarawak.
Dalam pada itu, Abdul Karim memberitahu, Sarawak semenjak 1 September membenarkan pesawat untuk masuk ke negeri ini mengikut normal baharu.
“Untuk pelancong antarabangsa, mereka perlu dikuarantin dan perlu melalui ‘swapping’,” tegas beliau.
“Kalau yang datang dari Sabah atau Semenanjung Malaysia walaupun mereka pelancong luar, mereka tidak perlu melalui perkara itu kerana ramai yang jadi duta dan sebagainya tinggal di Semenanjung.
“Kita berharap mereka dapat datang ke Sarawak untuk melancong dan untuk pelancong antarabangsa mereka boleh datang tetapi mesti kena kuarantin selama dua minggu,” katanya.
Oleh Cheryl Law