Oleh: Aileen Clare
‘TUK! TUK! TUK!’ Bunyi ketukan pintu mengejutkan semua penghuni rumah. Fatimah berlari ke arah pintu.
Pak Salleh membawa satu sampul surat, dia mahu berjumpa dengan Pak Jais iaitu suaminya. Fatimah mempelawa Pak Salleh masuk. Tanpa membuang masa, Pak Salleh menyatakan hasratnya yang ingin menjual tanah pusaka milik keluarganya kerana masalah kewangannya. Dia tahu, Pak Jais mampu membelinya kerana dia antara orang berada di kampung itu.
“Adik kau yang lain tahu, Salleh? Aku tidak mahu mereka tiba-tiba datang dan serang aku sebab beli tanah keluarga kau.”
“Kau jangan risau, Jais. Mereka semua tahu, aku sudah berbincang dengan adik-adik aku. Kami semua setuju menjual tanah pusaka ini. Tanah pusaka keluarga aku terletak di hujung kampung. Esok kita ke sana kalau kau setuju.”
Pak Jais tidak terus memberi kata putus, dia berfikir sejenak. Puas Pak Salleh memujuknya agar membeli tanah itu.
Keesokan harinya Pak Jais dan Pak Salleh bersama-sama pergi melihat tanah itu. Sekali lagi Pak Salleh memujuk Pak Jais. Akhirnya Pak Jais bersetuju, geran tanah itu pun sudah ada di tangannya. Tanpa mereka sedari ada sepasang mata yang memerhatikan mereka dari jauh. Ada api kemarahan di sebalik pandangan itu.
Fatimah tidak begitu mengambil peduli urusan suaminya dan Pak Salleh. Baginya, itu perkara biasa. Bukan tidak pernah penduduk kampung menjual tanah kepada suaminya. Di sebalik kesenangan mereka, tidak terlepas dari hasad dengki orang lain. Kehidupan mereka yang serba mewah itu sentiasa mendapat fitnah orang kampung. Ada yang mengatakan keluarga mereka kaya atas bantuan ‘saka’. Walaupun tidak semua orang yang mempercayai fitnah itu, Pak Jais dan Fatimah tetap berhati-hati. Mereka tahu tidak semua orang boleh dipercayai. Mereka dikurniakan 4 orang cahaya mata, 3 orang anak lelaki dan seorang anak perempuan. Anak-anak mereka sentiasa dipesan dan dididik menjadi seorang yang baik tanpa membezakan status.
Hari silih berganti, Pak Jais sekeluarga sedang menikmati makan malam. Tiba-tiba pintu rumah mereka diketuk dengan kuat. Mereka semua terkejut, anak-anak diminta jangan keluar dari dapur. Pak Jais dan Fatimah bersama-sama pergi membuka pintu.
Zainab, Karim dan Jaafar memberi pandangan tajam. Masing-masing datang dengan wajah masam mencuka. Pak Jais menjemput mereka masuk dan berbincang. Mereka menolak dengan keras.
“Mana geran tanah itu, kami nak minta balik! Aku tahu Salleh ada beri geran itu kepada kau. Kami nak tuntut!” tengking Zainab.
Jiran-jiran yang berdekatan semuanya keluar daripada rumah, menyaksikan kekecohan yang telah berlaku. Anak-anak Pak Jais memerhati dari dapur. Mereka masing-masing ketakutan.
“Sabar Zainab, kita masuk dan berbincang baik-baik.” Pujuk Pak Jais.
“Tidak! Kami mahu geran itu sekarang juga!” Karim pula bersuara.
“Salleh sudah menjual tanah itu kepada aku, jadi tanah itu sudah menjadi milik aku. Aku tidak boleh serahkan geran itu, kenapa kau semua tidak pergi bertanya kepada Salleh.”
“Salleh langsung tidak berbincang dengan kami, dia pentingkan diri. Kami tidak kira, kami mahu geran itu juga! Pulangkan tanah kami!”
“Aku minta maaf,aku pun tidak tahu apa masalah kamu semua. Kamu semua nak buat aduan pun tiada guna. Salleh dah jual tanah dan menerima wang itu. Wang tanah itu pergilah minta daripada Salleh.”
“Baik, kau tidak mahu serahkan geran itu? Tidak mengapa, kau jangan menyesal. Hidup kau akan merana, kau berdegil tidak serahkan geran itu maka kami akan paksa kau serahkan nyawa kau pula.”
Jaafar bersuara sambil tersenyum sinis, dia mengajak kakak dan abangnya pergi daripada situ. Fatimah berasa tidak sedap hati dengan kata-kata Jaafar tadi, dia hanya memujuk hatinya agar bersangka baik.
Beberapa bulan telah berlalu, tiada benda yang ganjil berlaku. Pak Jais menganggap kata-kata Jaafar itu sekadar ugutan. Pak Jais pernah mencari Pak Salleh tetapi Pak Salleh seolah-olah mahu melarikan diri daripadanya. Pak Jais tidak kisah, dia menganggap masalah itu sudah selesai. Berbeza pula dengan Fatimah, ugutan itu masih lagi terngiang-ngiang di kepalanya. Dia yakin adik-adik kepada Pak Salleh akan membuat perkara terkutuk, dia memikirkan soal keselamatan suaminya.
Ada yang mengatakan suaminya menindas keluarga Pak Salleh dengan merampas hak tanah. Pak Salleh langsung tidak muncul mempertahankan Pak Jais. Sedih hatinya dengan dugaan ini. Ada kalanya dia terasa mahu berpindah keluar dari kampung tetapi Pak Jais tidak bersetuju. Bagi Pak Jais, itu semua adalah ujian bagi keluarganya.
Suatu hari, Pak Jais duduk melepaskan lelah di pondok belakang rumahnya selepas pulang dari ladang sawit. Tiba-tiba datang sekumpulan lelaki berpakaian hitam, riak wajah mereka sangat serius. Salah seorang daripada mereka datang mendekati Pak Jais, Pak Jais pun bangun dan tanya akan tujuan mereka ke sini. Lelaki itu hanya diam, kemudian dia mengangkat tangan kanannya dan membuat isyarat supaya mereka yang lain menahannya. Pak Jais meronta-ronta minta dilepaskan dan mulutnya ditekup. Baju Pak Jais diselak sehingga menampakkan perutnya, lelaki tadi seolah-olah membaca mantera dalam bahasa yang tidak difahami Pak Jais. Kemudian dia mengeluarkan satu bekas kecil, dicelupkan jarinya ke dalam dan melakar sesuatu pada perut Pak Jais. Kulit perut Pak Jais terasa sedikit panas, ada cecair hitam yang dilakar di atas perutnya, lakaran itu seperti huruf tulisan Siam.
Pak Wahab yang tiba-tiba melalui kawasan itu dengan pantas menggertak mereka. Pak Wahab turun dari basikal tuanya dan terus meluru ke arah Pak Jais yang ditinggalkan terkulai di tanah. Pak Jais dibawa pualng ke rumah. Fatimah terkejut dengan keadaan suaminya. Fatimah sangat berterima kasih kepada Pak Wahab atas pertolongannya tadi, kemungkinan besar dia akan kehilangan suaminya sekiranya Pak Wahab tidak datang tepat pada waktunya. Pak Wahab merupakan sahabat baik kepada Pak Jais, mereka berkawan sejak dari kecil lagi. Pak Wahab sudah dianggap seperti abangnya sendiri, segala masalah yang dihadapi harus mereka kongsi bersama. Fatimah mulai risau, dia tahu adik-adik Pak Salleh sudah memulakan langkah dengan membuat perkara yang tidak baik.
Malam itu, Pak Jais dan anak-anaknya tidur dengan penuh lena, sementara Fatimah masih lagi menahan mata. Dia berasa sangat mengantuk tetapi digagahkan juga dirinya agar tidak tertidur. Entah mengapa dari tadi dia berasa gelisah, dia mengubah posisi, menghadap suaminya. Perlahan-lahan air matanya mengalir, kasihan sekali dia melihat suaminya. Fatimah takut akan kehilangan cinta hatinya.
Tiba-tiba telinganya menangkap bunyi dari arah dapur, Fatimah menajamkan pendengaran. Ada bunyi cakaran yang berulang-ulang. Fatimah menenangkan diri dan berfikiran positif. Bulu roma Fatimah mencanak naik, dia berasa sangat takut. Bunyi itu tiba-tiba diselangi dengan bunyi mengilai. Fatimah tidak mahu mengejutkan suaminya. Fatimah memejamkan matanya, membiarkan bunyi itu bermain sendiri. Dia hanya mampu berdoa dan berharap ‘benda’ itu tidak mengganggu keluarganya. Fatimah membuka kembali matanya, dia teringatkan anak-anaknya. Bilik anak-anaknya terletak bersebelahan dengan dapur dan dua orang anaknya juga tidur di ruang tamu.
Fatimah mengumpulkan kekuatan, dia bangun dan membuka pintu bilik. Perlahan-lahan dia memerhati di sekitar ruang tamu. Fatimah berjalan perlahan menuju ke bilik tidur anak-anaknya pula, tiada tanda-tanda anaknya terbangun. Bunyi misteri itu masih lagi ada. Dalam keadaan gelap Fatimah ternampak ada bayangan yang besar mencakar-cakar dinding kayu. Tangan Fatimah meraba-raba mencari suis lampu, matanya tetap melihat ke hadapan.
‘Klik!’ Lampu menyala, Fatimah berdiri kaku. Dia ternampak ada satu sosok berpakaian tradisional Siam dengan kulit tubuhnya hitam dan berdarah sedang mencakar-cakar. Tangan makhluk itu kelihatan seperti tulang dan kukunya hitam sekali. Makhluk itu menoleh ke arah Fatimah. Wajah makhluk itu buruk. Soket matanya kosong dan mulutnya lebar dengan air liur meleleh. Makhluk itu mengilai. Fatimah kaku.
Dalam keadaan itu, dia mendengar jeritan suaminya dari bilik tidur. Serta-merta, makhluk itu pun menghilang. Anak-anaknya yang tidur di ruang tamu juga terjaga. Fatimah berlari ke bilik. Suaminya mengerang kesakitan dan jarinya menunjuk ke arah tingkap. Fatimah panik. Dia cuba menyedarkan suaminya yang meraung-raung. Badannya tiba-tiba kejang, muka dan lehernya membiru sehingga urat-urat timbul. Fatimah mengarahkan anak-anak lelakinya meminta bantuan. Mulut Pak Jais mula mengeluarkan darah, matanya perlahan-lahan memutih dan dadanya berombak kuat.
Tidak lama selepas itu, anak lelakinya tiba bersama beberapa orang kampung. Pak Wahab cuba mengangkat Pak Jais untuk bangun. Pak Jais mula merapu dalam bahasa yang tidak difahami. Dia mula bertindak agresif dengan menghantukkan kepalanya ke lantai. Anak-anaknya mula menangis dan menutup telinga. Selaku anak sulung, Adam segera membawa adik-adiknya masuk ke bilik dan melarang mereka keluar dari situ. Apabila Adam kembali mendapatkan bapanya, bapanya mula mencakar-cakar wajahnya sendiri. Sesekali dia bertindak seperti kera dengan melompat-lompat. Jeritan bapanya juga semakin kuat. Adam mengerutkan dahi, ada persoalan yang bermain di mindanya tetapi buat masa ini dia pendamkan saja.
Selama berhari-hari, keadaan Pak Jais menjadi semakin teruk. Dia bercakap seorang diri dan mencederakan dirinya sendiri. Tubuh Pak Jais sangat kurus sehingga menampakkan tulang belulang. Pak Jais dikurung di dalam bilik. Hanya Adam dan Fatimah yang bergilir-gilir menjaga bapanya. Adam sedikit pun tidak takut dengan bapanya. Perut bapanya mula membesar, rambutnya mula gugur dan kadang-kadang bapanya akan memakan rambutnya sendiri. Pak Jais tidak mahu makan dan akan mengamuk apabila Fatimah memaksanya makan. Dia gemar makan benda yang kotor.
Pak Jais semakin lemah, dia hanya terbaring kaku di atas tilam. Fatimah tidak putus mencari ikhtiar. Orang alim dipanggil untuk mengubati begitu juga pawang-pawang yang lain. Kata salah seorang pawang, orang yang menghantar sihir ini tidak akan berhenti sehingga Pak Jais mati. Fatimah buntu. Dia membuat keputusan untuk ke rumah Zainab. Pada waktu itu kebetulan Zainab ada di rumah. Fatimah merayu kepada Zainab agar menarik balik ilmu sihir itu, dia akan menyerahkan geran tanah itu sekiranya mereka sanggup menarik balik sihir. Zainab menafikan bahawa dia menghantar sihir kepada Pak Jais. Fatimah tidak berpuas hati. Dia tahu Zainab berbohong. Fatimah melutut, merayu-rayu, meminta Zainab dan adik-beradiknya menarik semula sihir itu. Zainab mengajak Fatimah ke rumah dan bertemu dengan adik-adiknya yang lain. Mereka semua mengaku tidak menghantar apa-apa sihir, mereka hanya berniat menggertak dan menakutkan keluarga Pak Jais. Zainab mengaku mereka berasa sangat marah terhadap Pak Jais tetapi Zainab dan adik-adiknya tidak mahu berdendam dengan sesiapa, mereka sudah tidak kisah dengan geran tanah itu kerana mereka tahu Pak Salleh seorang yang tamak dan mementingkan diri tanpa memikirkan adik-adiknya.
Fatimah mula berteka-teki, siapa lagi yang bermusuh dengan suaminya? Zainab dan adik-adiknya sempat meminta maaf kepada Fatimah atas kekasaran mereka pada waktu itu. Fatimah mulai ragu-ragu dengan prasangkanya. Tetapi Zainab bersungguh-sungguh menafikan dirinya sehingga dia berani bersumpah.
Di rumah, Adam tetap setia duduk di sebelah bapanya. Kulit bapanya dipenuhi dengan nanah, perut bapanya semakin membesar dan ada di antara adik-adiknya melihat perut bapanya bergerak-gerak. Adam yang berusia 14 tahun itu menangis, baring di sebelah sambil memeluk lengan bapanya. Dia yakin bapanya seorang yang sangat baik. Segala kenangan dengan bapanya berputar di mindanya, bapanya seorang yang sangat penyayang dan sentiasa mendidiknya menjadi insan yang berakhlak mulia.
“Bapak sudah pergi nanti jangan lupakan kami ya, Adam sayang bapak. Adam tahu siapa yang buat bapak jadi begini. Adam tidak akan lupakan orang itu. Adam akan jaga mak dan adik-adik, bapak jangan risau ya. Semoga syurga untukmu.” Adam semakin erat memeluk lengan bapanya, dia tidak kisah dengan bau dan cecair nanah yang melekit itu.
Air mata Pak Jais perlahan-lahan menitik. Di dalam jasadnya masih lagi ada Pak Jais yang sebenar, dia gagal melawan ilmu sihir ini mengawal tubuhnya. Nafas Pak Jais perlahan-lahan turun, Adam menangis tersedu-sedu, tangannya menutup kelopak mata Pak Jais dan mencium dahi bapanya. Buat kali terakhir.
Proses pengebumian Pak Jais berjalan lancar. Mereka menerima banyak ucapan takziah. Fatimah menangis teresak-esak. Adik-adiknya tidak lengang dari ibunya. Pak Wahab datang dan mengucapkan takziah kepada Fatimah, dia ada menghulurkan sejumlah wang kepada Fatimah tetapi ditolak lembut. Pak Wahab meminta Adam menerima pemberian itu dan dia pun berjalan pergi, Adam menghantar Pak Wahab dengan pandangan tajam.
Setibanya di rumah, Pak Wahab membersihkan dirinya. Dia pun terbaring di atas katil sambil memejamkan matanya, perlahan-lahan bibirnya mengukirkan senyuman. Dia ketawa kecil, hatinya berasa puas, di dinding biliknya terdapat dua bingkai foto. Bingkai yang pertama ada figura dia, Pak Jais dengan Fatimah. Bingkai kedua pula ada figura Fatimah.
“ Jais… Jais… Seandainya kau berundur dan tidak kahwin dengan Fatimah tentu kau masih hidup sehingga sekarang. Kau tahu aku cintakan Fatimah tetapi kau tetap nak merebut Fatimah daripada aku.”
Memori Pak Wahab terimbas, dia sengaja mengupah beberapa orang muda menyerang Pak Jais dan mencalit cecair yang telah dipujanya. Dia berpura-pura datang membantunya, hatinya rindu dengan Fatimah dan dalam masa yang sama hatinya sakit dengan kesetiaan Fatimah terhadap Pak Jais.
Pak Wahab sentiasa memerhatikan keluarga Pak Jais, dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk menyerangnya. Suatu malam dia memulakan langkahnya dengan menghantar sihir, dia melihat anak-anaknya keluar mencari bantuan. Sengaja dia mengekori anak-anak Pak Jais secara senyap, apabila mereka berjaya memanggil orang-orang kampung maka Pak Wahab terus mengikuti mereka dari belakang dan berpura-pura membantu Pak Jais. Sengaja dia melafazkan mantera di dalam hati agar keadaan Pak Jais semakin teruk.
Pak Wahab ketawa terbahak-bahak, dia sangat berpuas hati. Di bilik sebelah, iaitu bilik pemujaannya, ada beberapa makhluk sedang menunggu jamuan daripada tuannya.
15 tahun kemudian, Adam berjalan-jalan ke kampung halamannya dengan menaiki kereta. Sudah lama dia tidak menjejakkan kaki ke kampung ini sejak mereka berpindah, arwah ibunya membuat keputusan untuk berpindah keluar dari kampung ini setelah kehilangan bapanya. Adam berhenti di hadapan rumah lamanya, rumah kayu itu semakin mereput, semak samun semakin menebal di sekitarnya.
Adam sengaja datang semula ke kampung ini untuk mencari Pak Wahab. Selama ini dia tahu Pak Wahab punca segalanya, tetapi dia masih sangat muda pada waktu itu dan tidak mampu berbuat apa-apa. Dia mendapat berita daripada orang kampung bahawa Pak Wahab ditemui mati di kebunnya sendiri, dalam keadaan ususnya terkeluar, darahnya juga kering dan wajah Pak Wahab seperti dirobek sesuatu. Setiap hari Adam mendoakan untuk arwah ibu bapanya, dia menarik nafas dan mencari ketenangannya kembali.