
KUCHING: Pertandingan memancing sempena Festival Kuching hari ini bukan sekadar medan menguji kemahiran pemancing, tetapi turut menjadi acara santai menyerupai ‘piknik keluarga’ di tepi kolam.
Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng berkata, acara yang dianjurkan setiap tahun itu bukan hanya bertujuan mengumpulkan masyarakat untuk beriadah bersama, malah membantu pihak majlis mengawal populasi ikan dalam kolam yang sentiasa bertambah.
“Ramai yang memberi makan kepada ikan setiap hari. Jadi bilangannya cepat bertambah dan ini salah satu cara untuk mengurangkannya,” katanya ketika merasmikan pertandingan memancing itu pagi tadi.

Menurut beliau, pertandingan tahun ini mencapai sasaran penyertaan seramai 150 peserta selain turut menerima penyertaan secara secara tanpa temu janji. Namun, jumlah peserta dikawal agar tidak terlalu ramai memandangkan keluasan kawasan terhad.
Katanya, Festival Kuching sentiasa menawarkan pelbagai acara untuk semua golongan, dengan gabungan acara tradisional dan aktiviti baharu seperti pickleball, cosplay dan persembahan K-pop.
“Kita perlu bergerak seiring dengan masa dan memahami apa yang masyarakat mahu. Majlis mesti menjadi yang terawal menyediakan ruang itu untuk mereka,” ujarnya lagi.

Bagi memeriahkan acara memancing, hadiah wang tunai lumayan turut disediakan. Juara akan membawa pulang RM2,500, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing menerima RM1,250 dan RM750.
“Selain berpeluang memenangi hadiah, peserta boleh membawa pulang hasil pancingan mereka untuk dinikmati bersama keluarga. Mereka juga dapat menikmati suasana indah di tepi kolam sambil minum percuma,” katanya.
Dato Wee turut mengucapkan terima kasih atas sokongan masyarakat yang menjadikan acara ini sentiasa mendapat sambutan baik.
“Acara ini tidak memerlukan tenaga fizikal yang banyak. Peserta hanya duduk santai, kosongkan fikiran dan tunggu ikan menyambar umpan. Inilah keunikan yang membuatkan ramai terus kembali setiap tahun,” katanya.
Pertandingan kali ini menyaksikan Ramze Abut muncul juara dengan tangkapan seberat 7,275 gram, diikuti Salbi Ayub di tempat kedua dengan 4,875 gram, manakala Garandar Agun menduduki tempat ketiga dengan 3,475 gram.
Secara keseluruhan, seramai 23 peserta membawa pulang hadiah kemenangan manakala 20 lagi menerima sagu hati daripada pihak penganjur.
Oleh Adele Rissa