
KUALA LUMPUR: Selepas mencipta sensasi dan melakar rekod tersendiri dalam lebih lima dekad penyertaan Malaysia di pentas berprestij Miss Universe, pelakon aksi meningkat naik Sandra Lim mengakui hatinya masih terpaut dengan arena ratu cantik.
Namun, wanita berusia 25 tahun itu berkata keputusan untuk kembali ke arena tersebut bukan sesuatu yang boleh diambil secara tergesa-gesa kerana fokusnya kini lebih pada kerjaya lakonan.
“Saya cuma ikut perancangan Tuhan untuk saya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya tidak pernah merancang untuk mengambil bahagian dalam Miss Universe, tetapi Tuhan yang tentukan.
“Sekiranya Tuhan tentukan untuk saya kembali ke pentas Miss World atau Miss International, saya anggap itu sebagai satu lagi persada buat saya menampilkan potensi sebenar wanita,” katanya kepada Bernama selepas majlis Malam Gala dan Tayangan Perdana Filem Gayong 2, di sini semalam.
Sandra juga tidak menafikan rasa rindu terhadap pentas ratu cantik masih menebal di dalam dirinya dan tidak menolak jika suatu hari nanti akan kembali ke arena itu.

“Buat masa ini tumpuan saya adalah pada lakonan. Namun saya tidak boleh menyatakan yang saya tidak akan sesekali kembali ke pentas ratu cantik kerana saya masih muda,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Sandra mencipta sejarah dan menamatkan penantian 54 tahun Malaysia apabila layak ke Top 30 Miss Universe 2024 di Bandar Raya Mexico. Kali terakhir negara mempunyai wakil di pentas akhir pertandingan itu ialah pada 1970 menerusi Josephine Wong yang tersenarai dalam Top 15.
Berkongsi mengenai pembabitan sulungnya dalam filem aksi Gayong 2, Sandra berkata pengalaman itu sangat bermakna kerana membolehkan dirinya mencabar kemampuan fizikal dan lakonan secara serentak dalam naskhah berskala besar.
“Berlakon dalam filem ini benar-benar seperti satu impian yang menjadi kenyataan. Saya suka mencuba dan berlawan, semuanya dibuat secara raw dan penuh komitmen.
“Filem ini bukan memaparkan pergaduhan semata-mata, sebaliknya menekankan keikhlasan dalam setiap aksi yang dilakukan sendiri tanpa terlalu bergantung pada bantuan. Bagi saya, permainan dalam filem ini adalah untuk menunjukkan apa yang saya mampu lakukan,” katanya.
Sandra mendedahkan satu daripada babak paling mencabar ialah ketika penggambaran adegan pertarungan terakhir, apabila beliau secara tidak sengaja mencederakan pelakon utama Beto Kusyairy.
“Saya benar-benar terpaksa memukul dia dalam babak itu. Saya ada tanya sama ada dia mahu memakai pelindung, tetapi dia kata tidak perlu, jadi kami teruskan. Selepas itu, melihat kesan lebam yang dialaminya, saya rasa sangat bersalah,” katanya.

Walaupun persiapan agak singkat kerana bertindih dengan komitmen penyertaannya dalam pertandingan Miss Universe, Sandra berkata latar belakang dalam seni mempertahankan diri yang dimilikinya banyak membantu menjayakan babak aksi, selain menegaskan peluang itu adalah permulaan penting dalam perjalanan seni lakonannya.
“Saya masih baharu (dalam bidang ini) dan banyak yang perlu dipelajari, tetapi ini adalah langkah awal untuk saya terus berkembang dalam industri lakonan,” katanya. – Bernama