BAYANGKAN harga tiket penerbangan dari Miri ke Lawas mencecah RM700 untuk perjalanan sehala. Dari Miri ke Kuching pula menjangkau RM1,000. Itu belum lagi tiket penerbangan Kuala Lumpur-Kuching dan Kuala Lumpur-Sibu.
Ini bukan isu baharu. Perjalanan menggunakan kapal terbang bagaikan terhad untuk golongan kayangan dengan harga ‘tiket kayangan’. Bagaimana pula golongan marhein andai ada kes kecemasan di kampung seperti kematian ahli keluarga dan mahu pulang segera?
Semua ini meresah dan membimbangkan, apatah lagi bagi golongan B40 terutama untuk menghantar anak melanjut pendidikan di mana-mana negeri di Semenanjung Malaysia.
Hakikatnya, mana-mana syarikat penerbangan mahukan keuntungan bila beroperasi kerana ia entiti berbentuk perniagaan, bukan kebajikan… jauh sekali untuk ‘perkhidmatan nasional’ demi warganegara. Sebab itulah kata seorang juruterbang, operasi kapal terbang rugi jika hanya terbang dengan separuh penuh penumpang.
Mungkin sebab itu, ada syarikat penerbangan kerap menunda waktu penerbangan untuk penuhkan kapal terbang?
Malah, ada syarikat penerbangan beriya-iya membuka laluan baharu tetapi kemudian dihentikan apabila mendapati ia kurang menguntungkan.
Sebab itulah, kadang-kala kenyataan ahli politik mendesak buka laluan penerbangan ke sini, ke sana dan sebagainya, tidak akan dilayan kecuali laluan itu berpotenai membawa keuntungan.
Setakat ini, syarikat penerbangan yang beroperasi di negeri ini ialah AirAsia, Malaysia Airlines, Scoot Airlines serta Royal Brunei Airlines.
Kadang-kala kita terfikir, tidak bolehkah harga tiket penerbangan dikenakan harga siling? Andai harga siling ditetapkan misalnya tidak melebihi RM200 untuk perjalanan sehala Kuala Lumpur-Kuching, tidak timbul lagi isu kenaikan harga tiket, contohnya pada musim perayaan.
Jika harga barang boleh dikawal oleh kerajaan, mengapa tidak harga tiket penerbangan? Mengapa musim perayaan, pelbagai jenis barangan boleh dikawal harga?
CAMPUR TANGAN
Kita faham syarikat penerbangan berasaskan keuntungan dan komersial, tetapi kerajaan boleh campur tangan bagi mencari jalan penyelesaian untuk ‘menang-menang’.
Kita sebagai penumpang memang kerap kali ‘dibuli’ oleh syarikat penerbangan apabila kerap menunda jadual penerbangan atas pelbagai alasan. Hakikatnya, mereka mahu mengejar keuntungan semata-mata, kerana kapal terbang separuh penuh dikatakan akan rugi jika ia terpaksa terbang jua.
Satu lagi kaedah yang boleh difikirkan ialah kerajaan Sarawak dan Sabah memberi subsidi harga tiket untuk rakyatnya.
Namun, Kerajaan Sarawak sudah ada jawapan apabila menubuhkan syarikat penerbangan butik.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Kerajaan Sarawak bercadang menawarkan harga tiket lebih rendah berbanding syarikat penerbangan lain dalam penubuhan syarikat penerbangan butiknya sendiri.
Katanya, Kerajaan Sarawak perlu memulakan rancangan bercita-cita tinggi ini walaupun ia mungkin tidak menguntungkan kerana berdepan isu tambang penerbangan yang terlalu tinggi terutamanya pada musim perayaan.
“Kami melakukan ini (penerbangan sendiri) untuk menyediakan lebih banyak pilihan perjalanan udara, terutamanya untuk rakyat Sarawak,” katanya. Ini memungkinkan penerbangan itu menawarkan harga tiket munasabah.
Januari lalu, anak syarikat Petronas, Petronas Research Sdn Bhd (PRSB) dan SEDC Energy Sdn. Bhd., anak syarikat Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), menandatangani perjanjian untuk membangunkan teknologi bagi pengeluaran minyak mikroalga.
Di bawah perjanjian itu, PRSB dan SEDC Energy akan sama-sama membangunkan teknologi pengeluaran alga yang termasuk penanaman, penuaian dan pengekstrakan minyak alga mentah yang kemudiannya akan ditapis untuk menghasilkan bahan api penerbangan mampan (SAF).
Malah di Singapura, Kementerian Pengangkutannya sedang berusaha untuk menjadikan minyak kelapa sawit sebagai bahan mentah untuk pengeluaran SAF berikutan peningkatan permintaan penggunaan alternatif bahan api jet di seluruh dunia.
GUNA SAF
Malaysia Airlines menjadi syarikat penerbangan pertama negara yang menggunakan bahan api penerbangan mampan.
Penerbangan pertama menggunakan pesawat SAF, MH7979, yang dikendalikan oleh pesawat A330-200 Malaysia Airlines, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 17 Disember 2021 dari Lapangan Terbang Amsterdam Schiphol. Pesawat penumpang yang ditukar menjadi kapal terbang kargo itu dipacu oleh campuran 38 peratus SAF yang diperbuat daripada minyak masak terpakai dan bahan api jet konvensional.
Malaysia Airlines menyasarkan 100 peratus pesawatnya akan menggunakan SAF menjelang 2050 untuk pilihan tenaga yang lebih bersih dan berdaya maju.
Lebih 370,000 penerbangan dan 45 syarikat penerbangan telah menggunakan SAF sejak 2016. SAF merupakan salah satu penyumbang utama ke arah meminimumkan pelepasan karbon industri penerbangan dengan keupayaan untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 80 peratus berbanding penggunaan bahan api jet fosil.
Bagi Sarawak, Butik Airlines yang sudah mendapat lampu hijau dari Kabinet Persekutuan dijangka menyediakan tiket tambang murah untuk rakyat di negeri ini apabila ia beroperasi dalam tempoh tiga tahun ini, seperti dijanjikan.
Keadaan itu sudah pasti memberi saingan dalam industri penerbangan. Ini juga membawa harapan tinggi kepada rakyat terutama di lokasi yang tiada atau kurang perkhidmatan penerbangan sekarang ini.
Kita ingin melihat kekerapan penerbangan antara Kuching-Sibu-Miri selain ke kawasan seperti Mukah, Limbang, Lawas, Marudi dan Bario.
Masyarakat di Betong sudah pasti menunggu siapnya projek padang terbang pelepasan dan pendaratan singkat (STOLport) Bebuling bernilai RM296 juta yang dijangka siap Januari tahun depan. STOLport adalah untuk pesawat jenis kecil seperti twin otter. Namun, belum pasti status terkini STOLport Bukit Mabong, Kapit yang pernah diumumkan untuk dibina sebelum ini.
Lawas pula bakal mempunyai Lapangan Terbang baharu yang lebih besar di kawasan Sundar, Lawas melibatkan kawasan seluas 2,500 meter bagi menggantikan STOLport yang beroperasi sejak 1961. Projek ini mula dilaksanakan tahun ini.
Lapangan Terbang Baharu Mukah bernilai RM300 juta mula beroperasi pada 17 Jun 2021 untuk menggantikan semua fungsi STOLport Mukah sebelum ini. Namun, ia masih menggunakan pesawat twin-otter meskipun sudah boleh menerima pendaratan dan perlepasan pesawat lebih besar seperti Boeng.
Menjadi harapan kita semua ialah kemunculan syarikat penerbangan butik Sarawak supaya harga tiket penerbangan pada kadar munasabah, sekali gus membolehkan lebih ramai ‘nait belon’.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak