Pada suatu masa dahulu, ketika menebang dan mengerjakan pokok untuk dijadikan sebagai papan, Zaidie Eddie Ibrahim dan rakan-rakannya akan bertindak meninggalkan ‘sampah’ pokok berkenaan dengan begitu sahaja di dalam hutan.
Bagaimanapun apabila artis rakaman Iban, Jerry Kamit mula mengukir nama menerusi lagu berlatarkan dendangan Gitar Sape maka terlintas di fikiran Eddie untuk menghasilkan instrumen itu dengan menggunakan ‘sampah-sampah’ pokok berkenaan dari hutan.
“Saya mula membawa ‘sampah-sampah’ pokok ini pulang ke rumah untuk dijadikan sebagai bahan menghasilkan Gitar Sape dengan percubaan pertama hingga ketiga bagi tujuan berkenaan gagal sebelum itu.
“Selepas mendapatkan pandangan daripada individu yang mahir menghasilkan Gitar Sape maka barulah saya berjaya menghasilkan instrumen berkenaan menerusi percubaan yang keempat,” kata lelaki berusia 46 tahun itu dari Kampung Sibau Rimbau, Simunjan.
Berbanding penggunaan kayu pokok Medang, Zaidie telah bertindak memilih tiga jenis pokok bagi tujuan penghasilan Gitar Sape sendiri iaitu kayu Keladan, Pelaie dan Jelutong kerana ia mudah didapati dalam hutan berdekatan kampungnya sendiri.
“Untuk pengetahuan orang ramai, Gitar Sape saya ini dihasilkan dari kayu jenis Pelaie, Keladan dan Jelutong kerana kualiti kayunya amat baik dan senang didapati di kawasan ini,” kata beliau.
‘Sampah-sampah’ spesis pokok berkenaan kata beliau akan dibelah menjadi blok berukuran 4 kaki panjang, 7 inci lebar dan 4 inci tebal sebelum bahagian tengah dibelah menjadi satu lubang khas.
Proses membelah lubang blok kayu berkenaan kata Zaidie dilakukan sehingga dalam dan nipis bagi memastikan Sape yang dihasilkan itu nanti akan menghasilkan bunyi yang nyaring.
“Ketebalan permukaan Sape adalah satu sentimeter atau kurang. Tujuannya adalah bagi tujuan penghasilan bunyi Sape yang bagus…semakin nipis permukaan Sape serta dalam lubang dihasilkan maka semakin nyaringlah bunyi instrumen itu nanti,” katanya.
Sape yang dihasilkan olehnya sebelum ini tidak mempunyai corak. Bagaimanapun apabila hobi penghasilan instrumen berkenaan diterbit dalam Utusan Sarawak pada tahun 2007 dahulu maka coraknya terpaksa dihasilkan demi memenuhi maka permintaan orang ramai.
“Setelah diterbitkan dalam Utusan Sarawak, penduduk dari Miri dan Simunjan telah bertindak segera menghubungi saya menerusi Sistem Khidmat Pesanan Ringkas (SMS)untuk menempah Gitar Sape berkenaan.
“Tempoh seminggu diperlu untuk menghasilkan Gitar Sape tersebut dengan nilai harga instrumen itu bergantung sepenuhnya kepada jenis kayu yang saya pilih bagi tujuan berkenaan,” katanya.
Semenjak itu, saya telah pun menerima lebih 20 permintaan untuk membuat Gitar Sape daripada para pelanggan dalam negeri ini sebelum saya terpaksa mengakhiri hobi itu kerana mahu memberi fokus terhadap pekerjaan sendiri.
Beliau juga turut mengakui bahawa amat sukar untuk membeli koleksi Gitar Sape di kedai dalam bandar-bandar utama di negeri ini dan ianya secara tidak langsung menyumbang kepada nilai harga yang mahal terhadap Gitar Sape hasil buatannya.
“Mungkin saya akan kembali berjinak-jinak terhadap hobi itu pada suatu hari nanti. Kini saya tidak mempunyai masa untuk menghasilkan Gitar Sape baharu kerana kekangan waktu bekerja pada masa sekarang,” kata Zaidie.
Oleh Valentine Ngumbang